malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes kadet didera: Anwar teruskan lawatan ke UPNM esok
Diterbitkan:  Oct 31, 2024 4:10 PM
Dikemaskini: 8:12 AM
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual melawat kampus Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Sungai Besi, Kuala Lumpur esok, ketika skandal berkaitan penderaan terbaru membabitkan kadet tenteranya.

Berdasarkan poster jemputan di laman Facebook rasmi universiti itu, Anwar akan menjadi tetamu program 'Temu Anwar' yang merupakan inisiatif berterusan perdana menteri untuk bertemu pelajar universiti dan berkongsi dengan mereka hala tuju negara.

Difahamkan, acara pukul 10.30 pagi di Dewan Theatrette UPNM itu dijadualkan lebih awal sebelum tersebar berita mengenai seorang lagi kadet tentera dibuli dan ditekap menggunakan seterika panas didada oleh seniornya di UPNM.

Seorang pegawai perdana menteri memaklumkan program itu akan diteruskan seperti mana dirancang.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan satu lagi kes penderaan kejam berlaku di universiti pertahanan itu yang menyaksikan seorang kadet mengalami kesan melecur di dadanya selepas didera dan dibuli senior dengan menggunakan seterika panas

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malam tadi mengeluarkan kenyataan mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan.

Ia berkait kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM, Sungai Besi yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang penuntut senior.

ATM berkata pihaknya berjanji menjalankan siasatan secara menyeluruh dan adil.

Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Insiden itu satu lagi titik hitam terhadap reputasi UPNM selepas kes pembunuhan pegawai kadet tentera laut Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017, yang meninggal dunia akibat kecederaan ekoran penderaan kerana tekapan seterika.

Remaja berusia 21 tahun itu didakwa mengalami beberapa serangan berikutan keengganannya untuk mengaku mencuri komputer riba pelajar lain, di asrama universiti awam di Kuala Lumpur antara 21 dan 22 Mei tahun itu.

Susulan kejadian itu, enam bekas pelajar UPNM disabitkan dengan kesalahan membunuh Zulfarhan dan dijatuhkan hukuman mati.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen