malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Teresa seru perhatian pemimpin PAS isu nama Malaysia direndahkan di AS
Diterbitkan:  Oct 30, 2024 10:27 PM
Dikemaskini: 2:27 PM
ADS

Seorang pemimpin DAP menggesa pemimpin PAS mengalihkan perhatian dari isu pengibaran bendera China kepada kenyataan pengulas politik Amerika, Tucker Carlson yang disifatkan merendahkan nama Malaysia.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dalam kenyataannya turut menggesa Carlson memohon maaf atas kenyataannya yang menyifatkan calon presiden Demokrat AS, Kamala Harris sebagai "orang Samoa-Malaysia" dengan IQ rendah.

"Saya rasa kesal sekarang pengulas politik Republikan AS, Tucker Carlson menggunakan kewarganegaraan dan jantina untuk menyerang Kamala, dan mengheret Malaysia dalam ucapannya.

"Saya menyeru pengulas politik Republikan, Tucker Carlson, untuk menarik balik kenyataan yang melibatkan Malaysia dalam perjuangan politik AS dan memohon maaf kepada Malaysia,” katanya.

“Saya juga ingin menyeru pemimpin PAS yang sibuk dengan isu bendera China mengalihkan perhatian mereka kepada isu nama baik Malaysia direndahkan oleh ahli politik dalam kempen politik AS,” tambahnya, merujuk kontroversi pengibaran bendera China di festival kebudayaan Guan Gong di Teluk Intan dan Johor Bahru.

Kok berkata, dia dalam peranannya sebagai penggubal undang-undang mengikuti perkembangan politik dunia, dan khususnya pilihan raya presiden AS yang sedang berlangsung.

“Fokus perdebatan pilihan raya presiden AS seharusnya berkenaan kemampuan, dasar, dan visi calon, dan bukannya latar belakang keluarga atau tempat kelahiran, lebih-lebih lagi Harris bukan berasal dari Malaysia,” katanya.

Carlson dilaporkan mengejek Harris pada perhimpunan Republikan di Madison Square Garden, New York, dengan melabelnya sebagai "orang Samoa-Malaysia" dan "bekas pendakwa raya California dengan IQ rendah".

Harris, naib presiden AS sekarang, mempunyai bapa asal Jamaica dan ibu keturunan India.

Sebelum ini, menteri luar Mohamad Hasan mencuit kenyataan berkenaan dengan menjemput Harris untuk "balik kampung" ke Malaysia jika dipilih sebagai presiden AS seterusnya.

Dalam catatan Facebook menjawab dakwaan Carlson bahawa Harris adalah sebahagian rakyat Malaysia, Mohamad menyindir bahawa dia harus mencuba beberapa "nasi goreng USA", merujuk kepada hidangan nasi goreng yang tidak mempunyai kaitan sebenar dengan AS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen