Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang eksekutif pemasaran sebuah syarikat yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan.
Perintah reman selama empat hari - sehingga 2 Nov itu - dikeluarkan majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap suspek selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber lelaki yang berusia 30-an itu ditahan bagi membantu siasatan ketika memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya lewat petang semalam.
"Hasil siasatan awal mendapati syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat yang tidak aktif (dormant) di Malaysia sejak lapan tahun lepas.
"Bagaimanapun, syarikat induknya merupakan sebuah syarikat berpangkalan diSingapura. Syarikat terbabit juga dikatakan telah menerima kontrak pembekalan baja berjumlah 15,000 tan atau lebih kurang RM60 juta pada 2022.
"Pemberian kontrak sangat meragukan, dipercayai dibuat atas arahan pihak tertinggi pertubuhan tanpa kelulusan lembaga pengarah dan diberikan secara runding terus atas alasan pembelian darurat," kata sumber yang enggan identiti didedahkannya itu.
Semalam Malaysiakini melaporkan SPRM melancarkan siasatan terhadap dakwaan kartel yang terlibat dalam pengedaran dan pembekalan baja untuk tanaman padi.
Menurut SPRM ia adalah sebahagian daripada projek kerajaan bernilai RM1.8 bilion.
Dua hari lalu, satu sumber mendakwa SPRM telah mengunjungi beberapa premis di sekitar Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan.
Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan siasatan dan tidak menolak kemungkinan beberapa suspek lain akan ditahan untuk membantu siasatan.
Sementara itu sumber berkata, kontrak bernilai RM60 juta diberikan atas nama syarikat yang telah tidak aktif sejak lapan tahun lepas itu amat mencurigakan.
"Begitu juga keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa atas nama pembelian kecemasan," katanya.
Menurut sumber itu, kes berkenaan disiasat dibawah seksyen 16, 18 dan 23 Akta SPRM 2009.