malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kritik kerajaan masih dianggap salahi Akta Hasutan
Diterbitkan:  Oct 29, 2024 1:47 PM
Dikemaskini: 5:47 AM
ADS

Pada 2015, pentadbiran kerajaan BN pimpinan Najib Razak meminda Akta Hasutan agar sebarang langkah mengkritik kerajaan tidak lagi menjadi satu kesalahan.

Bagaimanapun, sembilan tahun kemudian, pindaan itu masih tidak berkuat kuasa seperti yang ditunjukkan dalam jawapan bertulis parlimen oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Pindaan 2015 telah menghapuskan perkataan "atau mana-mana kerajaan" daripada Seksyen 3(1)(a) yang menyatakan "bagi membawa kebencian atau penghinaan atau menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap mana-mana pemerintah atau terhadap mana-mana kerajaan" sebagai kecenderungan menghasut yang boleh dihukum di bawah undang-undang.

Antara perubahan lain, ia juga menghapuskan peruntukan 3(1)(c) "untuk membawa kebencian atau penghinaan atau menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia atau di mana-mana negeri" secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, Saifuddin dalam jawapan bertulis bertarikh 28 Sept menyenaraikan kedua-dua Seksyen 3(1)(a), dan 3(1)(c) yang tidak dipinda sebagai kecenderungan menghasut yang boleh dihukum di bawah Akta Hasutan.

Semakan dengan portal Undang-undang Malaysia kerajaan mengesahkan bahawa pindaan 2015, walaupun diwartakan, masih tidak berkuat kuasa.

PH sebelum ini berjanji untuk menyemak dan memansuhkan undang-undang seperti Akta Hasutan, tetapi tidak membuat sebarang langkah ke arah matlamat itu kerana ia berada dalam kerajaan.

Saifuddin berkata, kerajaan bercadang untuk meminda Akta Hasutan, tetapi tidak memberikan sebarang maklumat terkini.

Dia turut menyenaraikan kesalahan kecenderungan menghasut sambil menjelaskan kepada Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) bahawa polis berpandukan Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia dalam menyiasat kes-kes 3R (kaum, raja-raja Melayu, dan agama).

Mengenai Kanun Keseksaan, Saifuddin berkata, antara seksyen yang dirujuk ialah 298 (menyebabkan kesalahan agama), 298A (menggunakan agama untuk mengganggu keharmonian awam), dan 505(c) (kenyataan menghasut terhadap mana-mana kumpulan atau kaum).

Bagi Akta Komunikasi dan Multimedia, menurutnya, seksyen 211 dan 233 digunakan untuk mengawal selia hantaran berunsur kebencian yang menyentuh 3R.

Dari 2022 hingga 30 Sept tahun ini, polis menyiasat 506 kes 3R, dengan 42 kes dihadapkan ke mahkamah.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen