malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kontroversi pesta Guan Gong berjangkit ke Johor
Diterbitkan:  Oct 28, 2024 6:46 PM
Dikemaskini: 11:04 AM
ADS

Kontroversi melibatkan pesta Guan Gong kini ‘berjangkit’ ke Johor.

Perkara itu menyebabkan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee, yang menghadirinya di Johor Bahru, tampil membuat penjelasan.

Kerk yang juga timbalan speaker Melaka berkata bukan hanya bendera China, tetapi pelbagai negara seperti Vietnam dan Thailand dikibarkan dalam pesta kebudayaan antarabangsa itu.

“Ia boleh dinampak dalam post dan reels saya.

Kerk Chee Yee

“Mungkin ada bendera negara lain tapi saya tak perasan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming turut dikaitkan dengan kontroversi sama melibatkan acara di Teluk Intan, Perak.

Dia mengarahkan pegawainya membuat laporan polis terhadap Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria kerana mendakwanya merasmikan festival kebudayaan itu.

Malaysiakini melaporkan Razman menggesa polis menyiasat menteri dan exco negeri berhubung perarakan itu selepas sebuah klip video memaparkan beberapa individu mengibarkan bendera China dalam acara berkenaan.

Penganjur, Persatuan Kebudayaan Guan Gong, memohon maaf dan menjelaskan bahawa individu yang mengibarkan bendera itu adalah warga China.

‘Bendera lain pun ada’

Sementara itu, menulis di media sosial, Kerk menegaskan bendera Malaysia juga dikibarkan dalam acara di Johor Bahru.

Dia juga mempersoal apa masalahnya kalau delegasi negara lain yang dijemput mengibarkan bendera mereka.

“Dan kenapa bendera Vietnam dan Thailand (sepertimana yang terkandung dalam post saya) tak jadi isu kepada mereka yang bangkitkan perkara ini?” soalnya.

Katanya, dia dimaklumkan oleh penganjur bahawa sesi perarakan itu turut melibatkan delegasi dari Filipina, Hong Kong, Macau, Singapura dan Indonesia.

Terdahulu, aktivis pembangkang Chegubard atau Badrul Hisham Shaharin menempelak Kerk kerana hadir acara yang didakwa mengibarkan “bendera Komunis China”.

Bagaimanapun, semakan mendapati bendera itu sebenarnya bendera negara China, bukan bendera Parti Komunis China.

Festival Guan Gong diadakan untuk meraikan pahlawan purba China Guan Gong atau Guan Yu.

Watak itu begitu popular dalam budaya pop sehingga diadaptasi dalam pelbagai bidang, antaranya fiksyen sejarah, filem dan permainan video.

Pelakon Hong Kong Donnie Yen juga pernah membawa watak Guan Yu di dalam filem The Lost Bladesman pada 2011.

Patung Guan Yu juga diletakkan di banyak kuil Taoist dan menjadi simbol spiritual masyarakat Cina yang dihormati dalam kepercayaan Buddha dan Konfusianisme.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen