Bekas Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah menafikan dakwaan dia menyelewengkan dana pusat khidmatnya ketika menjadi wakil rakyat di kawasan itu.
Sebaliknya, dia berkata dakwaan itu bangkitkan pihak tertentu bagi memburukkan imejnya menjelang pemilihan DAP di Selangor yang dijadual diadakan bulan depan.
Ean Yong berkata dia telah memberi kerjasama dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan itu.
"Dakwaan ini adalah tidak berasas dan saya telah pun memberi kerjasama yang penuh kepada SPRM pada siasatan yang dilakukan tahun lepas.
"Perkara ini berbangkit semula disebabkan ada pihak yang ingin campur tangan dalam pemilihan DAP Selangor akan datang," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Langat Ahmad Yunus Hairi membangkitkan isu berkenaan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat.

Ahmad Yunus yang juga pesuruhjaya PAS Selangor bertanya tentang status siasatan terhadap seorang bekas Adun, tanpa merujuk Ean Yong secara khusus.
Dalam satu kenyataan selepas sesi perbahasan itu, Ahmad Yunus berkata tindakannya membangkitkan isu berkenaan bukan kerana ingin mencampuri urusan DAP.
"...Tetapi oleh kerana tertuduh kini merupakan pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang atas lantikan Yang di-Pertuan Agong. Demi menegakkan integriti, rakyat berhak tahu statusnya.
"Adakah dakwaan yang dibuat ada asas dan pihak peguam negara akan mendakwanya, atau dakwaan ini tidak berasas? Rakyat perlu tahu dan kerajaan bertanggungjawab memberikan penjelasan," katanya lagi.

