malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Jenayah tetap jenayah, permohonan maaf Najib tiada makna’ 
Diterbitkan:  Oct 28, 2024 1:22 PM
Dikemaskini: 6:05 AM
ADS

Permohonan maaf Najib Razak dalam isu skandal 1MDB tidak memberikan sebarang makna kerana ia telah diputuskan oleh mahkamah, kata DAP.

“Ini bukan soal terima apa-apa permohonan maaf. Dengannya (permohonan maaf) atau tidak jenayah tetap jenayah, dia telah pun disabitkan, dan dibuktikan oleh mahkamah. 

“Dia didapati bersalah. Itu adalah fakta.

“Jadi pada saya, permohonan maaf itu tidak bawa apa-apa makna,” setiausaha agungnya Anthony Loke dipetik sebagai berkata kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Najib memohon maaf kerana skandal 1MDB berlaku semasa pentadbirannya, tetapi mempertahan dirinya tidak bersalah.

Permohonan maaf itu dibacakan oleh anaknya Nizar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Setiap hari, saya berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan dalam 1MDB berlaku semasa bawah pengawasan saya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Bekas perdana menteri Najib Razak

Sementara itu, ditanya pendirian DAP jika Najib diberikan hukuman tahanan di rumah, Loke berkata cadangan itu diketengah untuk reformasi penjara, bukan berkaitan Najib.

“Ini bukan soal Najib. Terdapat ambang tertentu bahawa jenayah tertentu tidak boleh dimasukkan ke dalam tahanan rumah. “Dan, sudah tentu, jenayah yang serius tidak dibenarkan di bawah tahanan rumah,” dia dipetik sebagai berkata oleh Malaysia Gazette.

Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Dia dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta tetapi Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Selain kes SRC International, Najib juga masih berdepan pertuduhan di mahkamah berkaitan kes 1MDB melibatkan dakwaan rasuah RM2.28 bilion dan pecah amanah jenayah berkaitan International Petroleum Investment Company berjumlah RM6.6 bilion.

Kes pindaan laporan audit 1MDB dan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International juga masih berjalan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen