malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wanita reka cerita jadi perempuan simpanan didakwa esok
Diterbitkan:  Oct 24, 2024 3:12 PM
Dikemaskini: 7:12 AM
ADS

Seorang wanita yang mendakwa dia dijadikan perempuan simpanan oleh sindiket pinjaman wang tidak berlesen (ahlong) di Pulau Pinang akan didakwa di mahkamah esok.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata wanita itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown mengikut Seksyen Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

"Pertuduhan kes video tular di laman media sosial TikTok itu dilakukan esok kerana tindakan tidak bertanggungjawab wanita terbabit telah mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat umum," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 30 Sept lalu media melaporkan ​tular video di aplikasi TikTok berdurasi enam minit 45 saat yang memaparkan perbualan hos program audio siar bersama seorang pemanggil wanita.

Hasil soal siasat mendapati wanita itu telah menghubungi program wawancara berkenaan pada 26 Julai lalu.

Namun siasatan polis mendapati kejadian dia dipaksa bekerja tanpa gaji oleh ahlong di ‘rumah merah’ adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku.

Malah wanita terbabit mereka cerita kejadian itu untuk meluahkan perasaan.

Wanita itu turut mengaku membuat pinjaman wang dengan beberapa syarikat pemberi pinjam wang dan menerima ugutan daripada syarikat terbabit kerana gagal membayar hutang.

Ibunya yang berada di kampung juga didakwa menerima ugutan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen