malaysiakini logo
story-image
ADS

PARLIMEN | Walaupun masih dalam tempoh penggantungan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) tetap 'garang' walaupun suaranya sekadar bergema di luar Dewan Rakyat.

Muncul pada sidang media di parlimen hari ini, dia mengecam sekeras-kerasnya isu ketidakhadiran wakil-wakil rakyat kerajaan dalam sesi perbahasan Belanjawan 2025 yang sedang berlangsung.

Bagi ahli parlimen blok kerajaan yang hadir pula, Wan Ahmad Fayhsal mengecam mereka kerana menganggap kemunculan dalam dewan tersebut sekadar mengganggu perbahasan wakil pembangkang.

Justeru dia menggesa orang ramai "bangkit" untuk membantah keadaan tersebut.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab pihak kerajaan pada hari ini yang memandang enteng penyertaan dan penglibatan perbahasan ahli-ahli parlimen pembangkang yang mereka tak peduli sama sekali.

"Rakyat perlu bangkit dan persoal keberadaan ahli-ahli parlimen kalian di pihak kerajaan, yang semakin hari semakin kurang hadir, mendengar dan terlibat dalam perbahasan.

"Mereka ini cuma nak hadir buat kacau saja, macam Kampar, macam Jelutong, duk bergaduh isu apa? (Isu) Mamak pasembor - itu saja," katanya.

Dua ahli parlimen yang dipetik Wan Ahmad Fayhsal itu ialah Chong Zhemin (PH-Kampar) dan RSN Rayer (PH-Jelutong).

Terdahulu, Rayer tidak puas hati terhadap kenyataan dibuat Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) menggunakan istilah 'mamak pasembor' yang didakwa ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kelmarin.

Rayer mendakwa perkataan itu sebagai menghina masyarakat India Muslim.

Wan Ahmad Fayhsal turut merujuk insiden sesi perbahasan terpaksa ditangguhkan seketika susulan tidak cukup korum apabila perkara itu dibangkitkan Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa), semalam.

Wan Fayhsal berkata, pihaknya ingin membangkitkan rasa bimbang dan tidak bersetuju dengan gelagat yang sedang berlaku di Dewan Rakyat mutakhir ini.

Pengerusi backbanchers paling lama

Dia yang bakal melepaskan jawatan Ketua Pemuda Bersatu tidak lama lagi mendakwa, tiada langsung rasa hormat ditunjukkan oleh penyokong kerajaan dan menteri-menteri dalam perbahasan belanjawan yang dilakukan pembangkang.

"Kelmarin kita dikejutkan masalah yang berkaitan dengan sidang dewan terpaksa ditangguhkan kerana tidak cukup korum, ini perkara yang amat memalukan malah membuatkan rakyat tertanya-tanya, apakah backbenchers (penyokong kerajaan) ini benar-benar ikhlas dan jujur untuk terlibat dalam perbahasan?

"Sampai dua kali kena bunyikan loceng selepas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa bangkitkan di bawah Peraturan Mesyuarat 13(1), dah bunyi loceng pun dua orang saja masuk," katanya.

Dia yang bakal bertanding untuk jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu hujung bulan ini menambah, jika ketiadaan ahli parlimen itu disebabkan mereka menunaikan solat seketika, ia masih boleh diterima.

Malah kata Wan Ahmad Fayhsal ketika Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berbahas pada sebelah petang, tiada seorang pun menteri di dalam dewan.

"Ini satu penghinaan kepada istitusi parlimen yang meletakkan keadilan kepada semua ahli khususnya ketua pembangkang supaya apa yang dibahaskan didengar oleh pihak eksekutif bagi menjalankan proses semak dan imbang," katanya.

Shahidan Kassim (PN-Arau) pula menegaskan bahawa soal untuk memastikan korum cukup semasa persidangan parlimen berjalan merupakan tanggungjawab di pihak kerajaan.

"Soal korum bukan tanggungjawab kami, mereka patut bertanggungjawab memastikan korum mencukupi. Saya pernah menjadi pengerusi backbanchers paling lama dalam sejarah parlimen.

"Antara perkara yang saya beri perhatian ialah menjaga korum, (tapi sekarang) mereka tak ambil tanggungjawab.

“Mereka sering kata kami makan gaji buta, sekarang (mereka) makan gaji buta betul.

"Sebab apa, mereka dapat peruntukan RM3.8 juta setahun, dalam keadaan peruntukan yang begitu besar sepatutnya tidak serabut dengan soal peruntukan patutnya datanglah ke parlimen," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen