malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP Seputeh: Pindah unit penguat kuasa bagi tangani rasuah
ADS

PARLIMEN l Susulan pendedahan rasuah baru-baru ini yang menyaksikan penahanan sehingga 50 pegawai imigresen, seorang ahli parlimen kerajaan menggesa kerajaan untuk memudahkan pemindahan antara agensi sebagai satu cara untuk mengurangkan kelaziman kes sedemikian.

Teresa Kok (Pakatan Harapan-Seputeh) dalam membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 berkata cadangan pemindahan pegawai penguat kuasa antara agensi boleh dicontohi mengikut mekanisme sedia ada untuk penjawat awam lain.

Teresa Kok (PH-Seputeh)

"Saya nak beri satu cadangan pada kerajaan. Mungkin sesetengah agensi yang selama ini ia adalah closed-service, ini kita nak cari satu kaedah macam mana kita boleh memindah alih pegawai macam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kastam, SPRM dan mungkin unit penguatkuasaan DBKL.

"Sebenarnya semua adalah unit penguatkuasaan yang kita tahu banyak penyelewengan yang telah berlaku dan selalu kita baca dalam surat khabar, mungkin kesemua unit penguatkuasaan ini kita letak dalam satu agensi di mana kerajaan boleh adakan pengalihan pegawai di kesemua unit ini bila sesuai supaya (contoh) pegawai JIM yang masuk kerja seumur hidup di JIM (hingga) selalu menimbulkan perkara misalnya penyelewengan, salah guna kuasa...jadikan mereka seperti PTD (JPA) yang boleh dialihkan.

"Ini boleh bantu mengurangkan kadar penyelewengan kuasa dan rasuah di kalangan penjawat awam di bahagian penguat kuasa," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Pemindahan bagi tujuan penggiliran kakitangan ialah strategi antirasuah untuk menghalang pegawai daripada berada terlalu lama dalam satu jabatan atau kawasan dan membina pengaruh, hubungan rasuah, dan mempelajari cara mengatasi sistem.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa meski dengan penahanan lebih 50 pegawai imigresen yang dikaitkan dengan visa perubatan dan sindiket counter-setting, individu yang didakwa dalang, yang dikenali sebagai Tok Yah atau Tok Ayah dan seorang lagi dikenali sebagai DK, tetap tidak disentuh.

Tok Yah dilaporkan merupakan seorang pegawai kerajaan yang memegang jawatan penting dalam salah sebuah agensi penguatkuasaan.

DK ialah ahli perniagaan yang dikatakan disokong oleh ahli perniagaan lain yang dikenali sebagai “Adik”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen