malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin GISBH didakwa atas tuduhan jenayah terancang
Diterbitkan:  Oct 23, 2024 11:18 AM
Dikemaskini: 6:11 AM
ADS

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isteri Azura Md Yusof didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Turut didakwa anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tarmimi bersama 19 individu lain.

Individu lain yang didakwa ialah Mohd Shukri Mohd Noor, Muhammad Afdaluddin Latif, Mohamad Sayuti Omar, Mohd Fazil Md Jasin, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, Mokhtar Tajuddin, Muhammad Fajrul Islam Khalid, Abu Ubaidah Ahmad Shukri, Shuhaimi Mohamed, Hasnan Abd Hamid dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri.

Turut dituduh ialah Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, Nur Jannah Omar, Hamimah Yakub, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, Nurul Jannah Idris, Siti Salmiah Ismail, Siti Hajar Ismail dan Mahani Kasim.

Tiga belas lelaki dan sembilan wanita itu menyatakan mereka faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISBH di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang, pada Oktober 2020 hingga 11 Sept 2024.

Mereka yang berumur antara 27 dan 72 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ali memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh untuk sebutan kes.

Peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili kesemua tertuduh berkata pihaknya memohon untuk mendapatkan pandangan mahkamah berhubung permohonan jaminan terhadap kesemua anak guamnya.

"Oleh kerana kes ini melibatkan satu pertuduhan dalam jadual Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan ia akan dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk dipindahkan, pihak kami mohon untuk mendapatkan panduan sama ada permohonan jaminan layak didengar di mahkamah ini atau di Mahkamah Tinggi," katanya yang mengetuai barisan peguam.

Bagaimanapun, Hakim Lailatul Zuraida berkata permohonan jaminan perlu dibuat di Mahkamah Tinggi dan menetapkan 23 Dis ini untuk sebutan kes.

Sementara itu, Rosli berkata pihaknya memohon agar seorang anak guamnya iaitu Siti Salmiah diberikan rawatan kerana mengalami masalah kesihatan dan permohonan itu dibenarkan oleh hakim.

"Mana-mana tertuduh yang mengalami masalah kesihatan boleh mendapatkan rawatan," kata Lailatul Zuraida.

Sebelum pertuduhan dibacakan terhadap Siti Salmiah, wanita itu dilihat batuk tanpa henti sambil menahan muntah menyebabkan anggota polis yang bertugas di mahkamah memberikan bantuan kepadanya.

Pada prosiding hari ini, Rosli dibantu peguam Zaim Rosli, Dorina Abdullah, Bestaman Ahmad dan M Hafiz Zainal Abidin manakala barisan pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail dan Siti Hajar Mat Radzi.

Kesemua tertuduh tiba di mahkamah pada 9.30 pagi menaiki dua trak polis diiringi beberapa kenderaan pacuan empat roda dan kereta peronda polis serta dikawal ketat lebih 50 anggota dari pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Pada 10 Okt lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin memaklumkan pemimpin tertinggi GISBH itu antara 58 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan oleh pihak polis.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Rosli berkata pihaknya akan mengemukakan representasi bagi mencabar pertuduhan dihadapi kesemua tertuduh.

"Kami akan melihat sekiranya terdapat pertuduhan lain selepas ini dan pihak pembelaan akan melawan segala tohmahan," kata peguam itu yang turut memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan anak guam bagi mendapatkan arahan lanjut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen