malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Budak 2 tahun nyaris diculik ‘cleaner’ warga asing
Diterbitkan:  Oct 23, 2024 11:09 AM
Dikemaskini: 3:12 AM
ADS

Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun nyaris menjadi mangsa culik apabila cuba dilarikan seorang lelaki warga asing dari sebuah rumah di Kampung Bunga Raya di Rawang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari itu, lelaki warga asing berkenaan yang memperkenalkan diri sebagai ‘cleaner’ secara tiba-tiba masuk ke ruang tamu rumah tersebut sebelum cuba melarikan kanak-kanak itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada jiran mangsa yang terdengar jeritan ibu kanak-kanak itu meminta tolong sambil melaungkan anaknya cuba diculik.

Beliau berkata sebaik mendengar jeritan, jiran itu terus ke rumah mangsa dan melihat suspek melarikan diri tanpa sempat membawa kanak-kanak berkenaan.

“Jiran itu bersama penduduk mengejar suspek warga Nepal berkenaan. Berlaku pergelutan antara suspek dengan penduduk sebelum berjaya menangkapnya di kawasan pembuangan sampah kira-kira 500 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata susulan tangkapan itu, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu jenayah culik yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda serta Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana ceroboh yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak melakukan apa-apa perkara serta tindakan yang menyalahi undang-undang dan jika mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu boleh hadir ke mana-mana balai polis atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohamad Azammudin Mohd Razib di talian 016-5661597,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa klip video di media sosial yang memaparkan seorang lelaki sedang terbaring setelah ditangkap oleh penduduk setempat dan disoal siasat orang awam dengan tangannya diikat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen