malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pengurusan tertinggi GISBH, anak Abuya antara 22 didakwa hari ini
ADS

Pengurusan tertinggi GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan isteri antara 22 individu yang akan dituduh mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) petang semalam.

“Turut akan didakwa mengikut pertuduhan yang sama esok (hari ini) ialah anak kepada pengasas Al-Arqam, dan kesemua individu berkenaan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Pada 10 Okt lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zin memaklumkan pemimpin tertinggi GISBH itu antara 58 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Selain itu, sebanyak 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan oleh pihak polis.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen