malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ahli Bersekutu Bersatu pertikai keputusan, JPP kata 'tak akan ubah apa-apa'
ADS

Timbul pertikaian berhubung keputusan pemilihan bagi sayap Bersekutu Bersatu dengan seorang anggotanya membuat aduan berkenaannya di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Namun Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu hari ini mempertahankan keputusan tersebut, yang menyaksikan Chong Fat Full mempertahankan jawatan ketua Bersekutu Bersatu yang disandangnya.

Menurut anggota yang membuat aduan itu,  Francis Xavier Maivar (gambar utama), terdapat 25 bahagian sayap itu di seluruh negara tetapi hanya 11 bahagian yang terlibat dalam pemilihan.

"Saya juga ada bukti berlaku salah guna kuasa dan unsur rasuah dalam pemilihan ini. Selain itu, pemilihan juga diadakan secara kelompok melibatkan tiga atau empat bahagian.

"Saya minta pucuk pimpinan mengadakan semula pemilihan parti," kata Francis kepada Malaysiakini.

Maivar berkata dia telah membuat aduan kepada ROS pada 18 Oktober lalu dan akan membuat laporan di SPRM dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Pengerusi JPP Bersatu Abdul Azim Mohd Zabidi berkata keputusan pemilihan selaras dengan peraturan JPP dan perlembagaan parti.

"Terdapat 25 bahagian sayap Bersekutu dan kesemuanya mengadakan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan.

"Tapi, pemilihan di 14 bahagian tidak dapat diambil kira kerana tidak mengikuti peraturan ditetapkan oleh JPP.

"Jadi, keputusan diumumkan berdasarkan pemilihan di 11 bahagian," katanya ketika dihubungi.

Azim juga berkata selaku pengerusi JPP, dia boleh mengesahkan Chong akan tetap menang jika keputusan dibuat berdasarkan kesemua 25 bahagian.

"Saya ada data pemilihan semua bahagian Bersekutu dan Chong masih menang.

"Jadi, sama ada pemilihan ambil kira 25 bahagian atau hanya 11 bahagian, ia tak bawa apa-apa perubahan kepada keputusan,” katanya lagi.

Pada 15 Oktober lalu, Azim dalam kenyataan mengumumkan Chong mempertahankan jawatannya bagi penggal 2024-2027 selepas menewaskan pencabarnya, Ketua Bersekutu Bersatu Bangi, K Vasantha Kumar.

Ketua Penerangan Sanjeevan Ramakrishnan pula menang jawatan naib ketua selepas mengalahkan ahli Bersekutu Bersatu Tanjong Cheah Kim Huat.

Pemilihan sayap itu membabitkan 7,466 ahli, iaitu seramai 1,478 orang di Selangor, Wilayah Persekutuan (1,212), Negeri Sembilan (1,613), Johor (2,323) dan Perak (840).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen