Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik berkata isu yang dibawanya mengenai memo dalaman Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertarikh 8 Okt lalu adalah berkaitan Akta 605 dan bukannya larangan memburukkan kerajaan.
Dalam satu kenyataan, Maszlee mengkritik laporan Malaysiakini bertajuk "Maszlee bocorkan memo larang ahli akademik burukkan kerajaan" yang disiarkan portal itu semalam.
"Surat pekeliling itu bukan sulit atau rahsia. Semua pihak di UKM terima. Mana timbul pula bocornya.
"Ciapan saya di X ialah mengenai aduan rakan akademik yang menyentuh bagaimana Akta 605 digunakan dalam isu ini ke atas ahli akademik dari membuat apa-apa kenyataan berhubung kerajaan dan keputusan-keputusan kerajaan, dan bukannya larangan memburukkan kerajaan.
"Cubalah baca dengan teliti surat tu," katanya.
Justeru dakwa Maszlee, pemilihan tajuk berita Malaysiakini semalam tidak teliti dan tidak cermat dalam laporannya.
"Apa pun terima kasih kerana sudi melaporkan isu yang di pandang sepi oleh massa tetapi amat bermakna buat para cendikiawan dan ahli akademik di seluruh negara.
"Jika boleh dapatkan input dari kesatuan-kesatuan akademik dan Akademi Professor mengenai isu ini," katanya.
Memo dari UKM bertarikh 8 Okt itu antara lain mengingatkan ahli akademik supaya tidak membuat kenyataan awam, termasuk di media sosial, melainkan dibenarkan atau diberi mandat berbuat demikian.
Ia menyatakan bahawa peringatan kepada semua pegawai awam datang daripada Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar melalui mesyuarat pengurusan Jabatan Perdana Menteri 2024.
"Jika disabitkan dengan kesalahan dan mengingkari mana-mana peraturan yang sedang berkuat kuasa tindakan tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam yang terlibat," kata memo itu.
Surat pekliling itu menambah semua penjawat awam, termasuk dari badan berkanun, dilarang membuat kenyataan awam, sama ada dalam bentuk lisan, bertulis atau lain-lain, yang disifatkan boleh memudaratkan dasar, rancangan atau keputusan oleh mana-mana badan berkanun atau kerajaan mengenai sebarang isu.
Pinda Akta 605
Ketika menjawat menteri pendidikan pada 2019, Maszlee menggesa Akta Badan-Badan Berkanun Tatatertib dan Surcaj 2000 (Akta 605) ditafsir semula bagi meningkatkan integriti dalam kalangan akademik.
Gesaan itu diulanginya pada 2021 apabila Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) menggesa kerajaan mengemukakan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual susulan dakwaan mengenai gangguan seksual di institusi pendidikan.
Dalam satu kenyataan berasingan semalam, Maszlee berkata Kementerian Pendidikan Malayisa (KPM) telah berusaha untuk meminda Akta 605 untuk memberikan kebebasan akademik kepada para pensyarah.
"Pindaan-pindaan ini akan memberi ruang kepada para pensyarah untuk bebas menerbitkan artikel dan membuat kenyataan media termasuklah berkaitan topik-topik yang sensitif.
"Usaha pindaan terhadap Akta 605 adalah untuk memastikan kebebasan akademik sentiasa terjamin dan dalam masa sama memastikan integriti ahli akademik di negara kita dapat diperkukuhkan," katanya.

