Lebih ramai pemimpin Umno tampil mengecam setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mendakwa bahawa dia diarahkan untuk tidak mencabar kiraan semula undi yang menyaksikan dia kecundang kepada Ahmad Zahid Hamidi pada 2022.
Terbaru, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh dan Ketua Puteri Umno Nurul Amal Mohd Fauzi meminta Shamsul tidak membuat spekulasi murahan.
"Pilihan raya ini ada undang-undang, kalau rasa boleh menang atau tidak berpuas hati buat bantahan kepada SPR pada masa yang ditetapkan bukan buat spekulasi murahan seperti ini seolah-olah memberikan kemenangan kepada Zahid Hamidi.
"Menang tetap menang dan kalah tetap kalah mengikut undang-undang. Tak perlu acah jadi hero. Pilihan raya akan datang lawan lagi lah. Apa ada masalah," kata Akmal menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Adun Merlimau, Melaka itu turut menyoal apakah ketika Shamsul kalah bertanding di DUN Paya Rumput pada pilihan raya negeri Melaka 2021, dia dipaksa untuk tidak tidak buat bantahan kepada SPR.
Sementara itu, Nurul pula berkata tiada “isu membunuh” sebaliknya, Shamsul tidak faham proses demokrasi.
Katanya, pengiraan semula hanya dilakukan di peringkat saluran, iaitu di tempat pengundian berlangsung. Ia pula dengan syarat bahawa perbezaan undi di antara kedua-dua calon adalah adalah kurang dari 4 peratus.
“Jika tiada kira semula di saluran mengundi maka Ketua Tempat Mengundi akan mengeluarkan keputusan dalam Borang 14 selepas pengiraan selesai dan semua kertas undi dimasukkan dalam peti undi.
“Kesemua peti undi dan Borang 14 akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Undi. Kesemua keputusan dari Borang 14 akan dijumlahkan untuk mendapat keputusan penuh.
“Pemenang akan diumumkan selepas menerima Borang 14 daripada semua saluran. Seandainya ada pertikai atau protes, calon perlulah buat petisyen,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut pemimpin Puteri Umno itu, dalam kes di Parlimen Bagan Datuk itu, kemenangan Presiden Umno tersebut adalah dengan sebanyak 348 undi.
"Calon kalah tiada kuasa mohon kira semula di pusat penjumlahan undi.
“Sekadar mereka cerita menyedapkan keadaan. Maka istilah membunuh demokrasi juga tidak berlaku kerana jika ada kerjasama pintu belakang tidak perlu presiden Umno korbankan kerusi sendiri dengan kemenangan paling tipis," katanya.
Justeru, Nurul meminta semua pihak supaya tidak perlu berpolitik dengan berbicara isu berkenaan kerana ini tidak menambah duit poket rakyat atau menambah peluang pekerjaan.
Dalam satu rancangan audio siar baru-baru ini, Shamsul Iskandar mendedahkan yang dia tidak mencabar keputusan di Bagan Datuk kerana "gambaran yang lebih besar" terhadap masa depan politik negara.
Malaysiakini sejak semalam telah menghubungi Shamsul dan masih menunggu maklum balasnya.