malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Loke kesal ada MP DAP percaya khabar angin cukai pusaka
Diterbitkan:  Oct 13, 2024 5:15 PM
Dikemaskini: 9:15 AM
ADS

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menafikan dakwaan kerajaan akan memperkenalkan pelbagai cukai baru, termasuk khabar angin cukai harta pusaka dalam Bajet 2025.

Dia juga kesal kerana beberapa ahli parlimen DAP terpengaruh dengan khabar angin tersebut.

Loke, yang juga Setiausaha Agung DAP menjelaskan dia tidak pernah mendengar cadangan cukai harta pusaka dalam mesyuarat kabinet.

"Tidak pernah ada pun ada cadangan ini.

"Jadi jangan percaya kepada andaian,” katanya ketika berucap pada konvensyen DAP Wilayah Persekutuan hari ini.

Loke berkata khabar angin ini berasal daripada artikel yang ditulis oleh penganalisis bank, mencadangkan kerajaan akan memperkenalkan beberapa cukai baru, termasuk pengenalan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta pelaksanaan cukai harta pusaka.

Namun, dia menekankan ini hanyalah analisis, bukan fakta dan keputusan kerajaan datang daripada kabinet bukan penganalisis.

"Ada yang kata kerajaan akan memperkenalkan banyak cukai dalam bajet, termasuk cukai harta pusaka.

"(khabar angin mendakwa) harta pusaka bapa saya diserahkan kepada saya dan kerajaan mahu cukai, adakah kerajaan mahu menekan rakyat?’

“Ini hanya khabar angin, bukan fakta," jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Loke menasihatkan ahli DAP supaya "lebih berhati-hati" dalam mengkritik kerajaan dan tidak mudah percaya khabar angin.

"Apa yang saya kesalkan ialah orang terlalu mudah terpengaruh dengan khabar angin, termasuk dalam parti.

“Jika terlalu mudah percaya pada khabar angin dan berita palsu, masyarakat jadi tidak stabil, negara jadi kacau-bilau dan timbul masalah dalam parti kerana tidak mempercayai kebijaksanaan dan keputusan kepimpinan. Jika percaya pada khabar angin, masalah akan timbul.

“Ini termasuk ahli parlimen kita sendiri. Ramai daripada mereka menentang ini. Mungkin kita sudah terlalu lama berada di pihak pembangkang, jadi kita menentang segala-galanya.

“Kita sepatutnya mengkritik perkara yang layak dikritik, tetapi jika sesuatu itu tidak wujud, apa yang mahu ditentang,” katanya.

Walaupun Loke tidak menyebut nama, kenyataannya ini seminggu selepas lima ahli parlimen DAP Sarawak berkata mereka akan mengundi menentang cukai harta pusaka jika kerajaan memperkenalkannya.

Mereka ialah Pengerusi DAP Sarawak dan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Kelvin Yii (Bandar Kuching), Mordi Bimol (Mas Gading), Alice Lau (Lanang) dan Oscar Ling (Sibu).

Loke berkata setiap keputusan kerajaan mesti melalui kabinet dan dia tidak mungkin terlepas perbincangan kabinet mengenai cukai harta pusaka.

“Saya ambil kerja saya dengan serius. Dalam tempoh dua tahun lepas, saya tidak pernah mengambil cuti daripada mesyuarat kabinet mingguan, walaupun ketika sakit.

“Kecuali saya berada di luar negara atas tugas rasmi, saya hadir setiap mesyuarat Rabu atau mesyuarat Jumaat semasa sesi parlimen. Tiada yang lebih penting daripada mesyuarat kabinet,” katanya.

Kerajaan Madani akan membentangkan Bajet 2025 Jumaat ini.

Pada 3 Oktober, Utusan Malaysia melaporkan penganalisis ekonomi meramalkan Bajet 2025 akan memperkenalkan lima cukai baru, termasuk cukai harta pusaka, cukai barangan mewah, cukai makanan tidak sihat, cukai karbon dan cukai kecerdasan buatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen