Ralat: Tajuk dan perenggan pertama berita ini ditukar susulan kesilapan fakta.
Keluarga Altantuya Shaariibuu menyokong hukuman mati digantikan dengan penjara terhadap pembunuhnya, Azilah Hadri.
Mahkamah Persekutuan pagi ini dimaklumkan perkara tersebut semasa pendengaran permohonan bekas komando polis itu untuk menukar hukuman mati kepada penjara seumur hidup berhubung pembunuhan yang berlaku 18 tahun lalu.
Altantuya, 28, dibunuh di kawasan terpencil di Shah Alam, Selangor, pada Oktober 2006. Mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera.
Semasa prosiding di hadapan panel tertinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, peguam Azilah, J Kuldeep Kumar, membacakan surat daripada bapa mendiang.

"Saya menulis untuk secara rasmi memohon pengampunan bagi hukuman Azilah Hadri, yang ditukar kepada penjara seumur hidup. Dia dijatuhkan hukuman mati pada 2006 atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu, seorang warganegara Mongolia.
"Saya telah menyentuh perkara ini dalam surat saya kepada perdana menteri anda.
"Penting untuk diakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan kesucian kehidupan, dengan menekankan semua makhluk di planet ini mempunyai hak untuk hidup.
"Permohonan saya lahir daripada rasa hormat mendalam terhadap kemanusiaan rakyat Mongolia," kata bapa mangsa Shaariibuu Setev, dalam surat yang dibacakan oleh peguam Azilah, Kuldeep Kumar, kepada Mahkamah Persekutuan.

Hari ini merupakan pendengaran permohonan semakan Azilah terhadap hukuman mati yang dikenakan ke atasnya.
Mahkamah jenayah mendapati Azilah dan bekas komando polis Sirul Azhar Umar bersalah atas pembunuhan tersebut dan menjatuhkan hukuman mati pada April 2009.
Azilah, 48, kini berada di penjara menunggu hukuman mati di Malaysia.
Namun, Sirul melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan kedua-duanya dan mengembalikan sabitan serta hukuman mati mereka pada 2015.
Disebabkan melebihi tempoh visa pelancong, Sirul ditahan oleh pihak berkuasa Australia, yang mempunyai dasar tidak menghantar pulang sesiapa yang menghadapi hukuman mati di negara asal.
Sirul, 52 tahun telah dibebaskan dan difahamkan masih berada di Australia.



