malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP tak pernah mengemis jawatan dalam kerajaan Johor - Loke
Diterbitkan:  Oct 6, 2024 3:26 PM
Dikemaskini: 7:26 AM
ADS

DAP tidak pernah meminta penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor, apatah lagi mengemis sebarang jawatan dalam kerajaan negeri itu.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata DAP menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar Shah yang menitahkan tiada pembangkang di Johor sebaliknya hanya ada wakil pengimbang.

“DAP tak akan minta untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di negeri Johor, kita selesa, kita memainkan peranan dan menjadi pengimbang kepada negeri Johor.

“BN menang 40 kerusi, PH ketika itu lawan BN menang 12 kerusi tambah satu kerusi Muda, PN menang tiga kerusi. Jadi BN dengan selesa boleh menubuhkan kerajaan di Johor dengan majoriti yang kuat. Itu hakikat yang kita terima.

“Jadi, saya nak menyatakan pandangan dan pendirian DAP bahawa DAP tidak pernah dan tidak akan mengemis jawatan kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Biasa DAP Johor, di Johor, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak dalam PH termasuk Amanah terus mendesak supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor susulan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, dua minggu lalu.

Cadangan itu menerima reaksi beberapa pemimpin BN, termasuk Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang kemudiannya menimbulkan polemik berterusan antara PH dan BN.

Mengulas lanjut, Loke berkata polemik kononnya PH Johor mahu kerajaan Perpaduan ditubuhkan perlu dihentikan.

Katanya dia juga telah memaklumkan kepada Liew Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor sejak tahun lalu supaya perkara itu tidak dibincangkan.

"Kepada rakan-rakan Umno, pendirian kita jelas, DAP bukan jenis nak mengemis jawatan. Kita nak berada dalam kerajaan, kita lawan dalam pilihan raya, menang dalam pilihan raya, malah apa yang patut kita wakili, kita wakili.

“Itu sebabnya untuk di Johor, nasihat saya untuk ahli-ahli kita bersabar, kita mainkan peranan kita sebagai wakil rakyat, sebagai ADUN, kita berkhidmat dan pastikan kita kuat. Kita menang balik sokongan rakyat, kita pertahankan setiap kerusi kita dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Mengulas kerjasama antara PH dan BN Johor dalam pilihan raya umum dan PRN16 akan datang, Loke berkata, ia akan dibincangkan bila tiba masanya.

"Soal pilihan raya umum depan, nak bekerjasama apa, apa caranya, apa modelnya kita akan bincang di peringkat pusat.

“Tak perlu bimbang, tak perlu gusar. Tanggungjawab pemimpin DAP Johor buat kerja betul-betul, berkhidmat kepada rakyat, jaga kawasan baik-baik, jaga kawasan kita sehingga kita menang balik semua kawasan kita. Ini mesej yang saya nak sampaikan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen