Pemuda Bersatu (Armada) hari ini menuntut Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) membatalkan penjualan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) berikutan perkembangan terbaru melibatkan syarikat tersebut.
Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Zahin Zainal berkata pada 1 Okt lalu syarikat itu dilaporkan sudah sah menjadi milik syarikat berpangkalan di AS, BlackRock Inc (Blackrock).
Katanya berdasarkan pengumuman syarikat tersebut proses pemilikan saham ke atas GIP sudah selesai.
Dakwa Zahin, pengesahan berkenaan sekali gus menafikan dakwaan bahawa GIP tidak dimiliki oleh BlackRock.
“Susulan pengesahan tersebut, Armada menggesa kerajaan khususnya Khazanah untuk membatalkan penjualan saham MAHB,” katanya semasa mengadakan sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
BlackRock dan GIP dalam kenyataan pada 1 Okt mengumumkan proses pemilikan tersebut sudah disempurnakan, lantan membentuk sebuah syarikat peneraju industri dalam sektor ekuiti, hutang dan teknologi.
Ia juga membekalkan pelbagai jenis kepakaran dalam sektor infrastruktur merentasi pelbagai jenis pasaran baru dan maju.
Ekoran pegangan saham tersebut, GIP akan dikenali sebagai sebahagian daripada BlackRock.
Zahin berkata dengan perkembangan terbaru itu, penjualan saham MAHB kepada GIP adalah sama seperti penjualan saham kepada BlackRock memandangkan syarikat itu kini dimiliki mereka sepenuhnya.
“Kami juga mahu mendapatkan penjelasan daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sama ada terdapat tekanan yang dikenakan ke atas mereka untuk bersetuju dengan penjualan saham MAHB ini kepada GIP-BlackRock.
“Adakah PNB, KWAP dan KWSP telah membuat kajian dengan terperinci berkenaan harga jualan saham MAHB yang dipersetujui untuk dijual kepada GIP-BlackRock?" katanya.