malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Sekilas pandang tajuk rencana saya agak pelik dan rasa tidak seimbang. Kenapa pula PAS, sebagai suatu parti besar di Malaysia dan parti yang mempunyai ahli-ahli parlimen terbesar dalam Dewan Rakyat dibandingkan dengan hulubalang Umno, Dr Akmal Saleh? Persoalannya kenapa rencana ini tidak berbunyi “siapa lebih ekstremis, PAS atau Umno?”.

Soalan ini sebenarnya amat penting kepada orang bukan Melayu. Soalan orang Melayu pula adalah siapa lebih Islamik, PAS atau Umno? Dalam rencana ini, saya nak khusus bincang dari perspektif orang bukan Melayu.

Pertama, mari kita tengok tahap ekstrem PAS. Dalam hemat saya, PAS memang parti yang paling ekstremis yang pernah saya lihat dengan mata kepala dan pendengaran sendiri dalam sejarah Malaysia sejak 40 tahun sebelum ini. Saya telah melalui zaman krisis Semangat 46, krisis reformasi dan kini krisis KK Mart.

Semua dah lalui. Kesimpulan saya, PAS cukup ekstremis. Saya menyokong PAS sejak era Reformasi lagi dari tahun 1998 sehinggalah Abdul Hadi Awang tersenyum dengan Najib Razak pada 2017.

Kita lihat bagaimana Hadi Awang selaku pucuk kepimpinan tertinggi PAS menggelar rakyat Malaysia bukan Melayu sebagai haiwan yang tak bermaruah. Kita baca juga hujah beliau dengan al-Quran bahawa orang bukan Melayu sebagai mudah berdosa dalam korupsi, walaupun ramai Melayu yang didakwa dan dihukum korup, termasuk seorang bekas perdana menteri.

Kita lihat PAS melafazkan qunut nazilah di Parlimen sekali gus menjadikan kesemua parti-parti kerajaan persekutuan sebagai musuh-musuh Islam dan musuh PN (PAS dan Bersatu). Kemudian kita melihat juga seorang ahli PAS yang menggunakan istilah kafir harbi kepada ahli-ahli DAP bukan Melayu. Lepas itu ada juga cadangan songsang Pemuda PAS suruh Melayu PAS kahwin dengan bukan Melayu untuk menambah undi.

Akhir sekali kita dengar juga kenyataan presidennya memunafikkan kerajaan perpaduan dengan cara kiasan. Ada banyak lagi catatan tetapi saya berhenti dulu.

Bagi saya, PAS sebagai suatu parti besar adalah parti yang menyokong kesemua tindakan dan kenyataan ekstremis yang telah disebutkan. PAS menyebutnya di peringkat tertinggi pengurusan dan akar umbi pun ikut dua kali lima.

Kedua, kita lihat Akmal. Bagi saya, Akmal ini bertindak secara peribadi dan mempunyai agenda tersendiri bagi menaikkan imej politik beliau. Jika imej politik tinggi, ada kemungkinan jadi ‘menteri’. Dalam menghina Teresa Kok sebagai “nyonya tua” dan mengugut pemilik KK Mart, seorang bukan Melayu, Akmal bertindak bersendirian. Beliau amat faham politik orang Melayu.

Nak jadi pemimpin dalam Umno mesti ada duit, mesti bersifat kurang ajar dengan orang bukan Melayu dan mempunyai populariti besar di kalangan orang Melayu. Setakat ini, Akmal adalah seorang yang amat berjaya dalam meningkatkan populariti beliau. Lihat saja di Facebook berapa juta bersetuju dengan beliau.

Anwar Ibrahim sudah pun menasihati dan menegur keceluparan beliau dalam kes menghina Teresa Kok dan pemilik KK Mart. Zahid Hamidi pun demikian, sudah tegur. Tetapi hanya Agong saja teguran berkesan untuk Akmal. Ini membuktikan yang Akmal ini seorang ‘loose cannon’ atau meriam buluh liar yang suka tembak ikut dan, kata orang utara.

Walaupun Umno mendapat tempiasan populariti Akmal, namun terbukti jelas, pucuk pimpinan semacam kurang bersetuju dengan tindak-tanduk Akmal. Berbeza dengan PAS, Hadi adalah pucuk pimpinan tertinggi dan kata-kata penghinaan kebanyakan datang dari mulutnya sendiri atau dari pena atau keyboardnya.

Adapun orang yang melafaz qunut nazilah dan yang menyatakan kafir harbi tidak pernah disentuh atau dicuit pun oleh Abdul Hadi.

Maka itu, jelas bagi saya bahawa Akmal tidak seektremis PAS sebab beliau khusus mengkritik individu dan bukan keseluruhan masyarakat bukan Melayu atau keseluruhan parti-parti kerajaan yang berbilang agama dan kaum. PAS tembak melebar dan meyeluruh.

Adakah ini bermakna Akmal itu lebih baik daripada PAS? Tidak sama sekali. Yang seorang ini dan yang parti itu dua-dua tak boleh pakai dalam Malaysia. Tetapi yang jelas Umno tidak nampak sedemikian. Akmal itu bertindak demi kepentingan diri sendiri dan bukan kepentingan parti, jauh sekali kepentingan kerajaan perpaduan.

PAS dan PN sekali harung satu bakul adalah kumpulan yang kesepaduan dalam ekstremisisme mereka untuk meraih undi orang Melayu dan memerintah tanpa mengira kaum dan agama lain.


TAJUDDIN MOHD RASDI merupakan seorang ahli akademik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen