malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Teater jadi medium didik anak tanpa kerakyatan
ADS

ULASAN | Dalam dunia yang sering kali melihat pada peta dan sempadan sebagai pengukuh identiti, terdapat mereka yang tidak diiktiraf, terpinggir dari penglihatan dan pemikiran umum.

Di Semporna, Sabah, pada awal September saya menemukan sebuah realiti yang membuka mata dan hati. Ia satu pengalaman yang tidak dirancang peringkat awalnya apabila tujuan asal ke sana adalah untuk melakukan kajian lapangan mengenai seni persembahan Igal, sebuah tarian tradisional komuniti Bajau Laut kemudiannya direzekikan melihat satu gerakan pendidikan yang melangkaui batasan konvensional, dirancang bukan untuk mereka yang diakui oleh sistem, tetapi untuk mereka yang diabaikan olehnya.

Ia adalah Sekolah Alternatif dan Universiti Alternatif yang dipelopori oleh aktivis Mukmin Nantang bersama Borneo Komrad.

Sebelum sampai ke Semporna, saya bersama ketua dan ahli-ahli kumpulan penyelidik yang lain menempuh perjalanan yang panjang melalui jalan darat yang menyajikan pemandangan-pemandangan ‘sebanar Sabah’ termasuk lebuh raya Pan Borneo yang sedang rancak disiapkan.

Sepanjang perjalanan kami ada menyentuh tentang isu-isu di Sabah yang unik dan berbeza dengan di Semenanjung Malaysia. Isu anak-anak tanpa kerakyatan antaranya telah menarik perhatian saya. Kebetulan salah seorang ahli penyelidik kami adalah bekas pensyarah kepada Mukmin.

Sementara itu anak sulung saya juga dalam masa sama telah berada di Semporna untuk menjadi sukarelawan di Sekolah Alternatif memenuhi cuti musim panasnya. Dalam fikiran saya, banyak persoalan yang bermain tentang bagaimana ‘institusi’ alternatif dan unik ini bergerak membuatkan hati tidak sabar untuk melihat sendiri di depan mata.

Saya sama sekali tidak merasakan janggal untuk menyebut ia sebagai sekolah malah juga universiti. Institusi alternatif ini berdiri sebagai lambang ketahanan dan inovasi dalam menghadapi keperluan yang mendesak bagi golongan yang paling rentan di Semporna, anak-anak tanpa kerakyatan.

Pendekatan teater

Mereka ini, yang tidak memiliki dokumen kewarganegaraan, terpinggir dari sistem pendidikan formal tentunya, dan kerap kali dibiarkan terperangkap dalam kitaran kemiskinan dan penafian hak asasi.

Namun, di celah-celah kegelapan dan ketidakpastian, sekolah dan universiti ini menjadi sinar yang menawarkan pendidikan, bukan sekadar dalam bentuk yang teratur dan berstruktur, tetapi yang lebih penting, pendidikan yang menghidupkan jiwa dan semangat mereka yang terpinggir.

Malah komuniti sekeliling institusi ini juga turut diresapi aura positif dari kewujudan sekolah dan universiti alternatif ini.

Salah satu pendekatan yang diterapkan di institusi ini adalah dengan pendekatan teater sebagai kaedah pedagogi. Teater di sini bukanlah sekadar seni persembahan, ia adalah ruang di mana emosi dan pengalaman anak-anak ini diolah, dihayati, dan akhirnya diekspresikan. Dalam teknik improvisasi yang digunakan, saya melihat bagaimana anak-anak ini digalakkan untuk mencipta tanpa batasan, tanpa skrip atau arahan yang ketat.

Dalam dunia yang sering kali tidak memberikan mereka ruang untuk bersuara, di sini mereka bebas untuk menjadi diri mereka sekaligus mencetus satu kebebasan yang mungkin hanya dapat dicapai melalui seni.

Sudah terbukti di banyak tempat di dunia bahawa teater dan teknik improvisasi bukan sekadar seni, tetapi juga alat pedagogi yang berkesan dalam pendidikan. Sebagai contoh, Paulo Freire, seorang ahli pendidikan dan ahli falsafah dari Brazil, menerapkan konsep pendidikan pembebasan yang memberi penekanan kepada dialog dan interaksi kritikal antara pelajar dan guru.

Pendekatannya, yang diadaptasi ke dalam bidang seni teater oleh Augusto Boal dalam Theatre of the Oppressed, menggunakan improvisasi sebagai alat untuk melatih pelajar berfikir secara kritikal, melawan penindasan, dan memperkuatkan suara mereka dalam masyarakat. Kaedah ini bukan sahaja memberikan ruang kepada pelajar untuk mengekspresikan diri, tetapi juga mendidik mereka tentang kuasa dan hak untuk menyoal serta mencabar status quo.

Pendekatan ini mendedahkan teater sebagai satu kaedah pendidikan yang aktif dan dinamik, mirip dengan apa yang sedang dilakukan di Semporna, di mana anak-anak tanpa kerakyatan diberikan peluang untuk membentuk semula naratif hidup mereka melalui seni dan ekspresi kreatif.

Lebih daripada sekeping sijil

Anak-anak yang tidak bernegara ini hidup di ruang liminal, antara wujud dan tiada, antara diakui dan dinafikan. Mereka adalah golongan yang ditandai oleh apa yang sering disebut sebagai The Otherness iaitu satu konsep yang merujuk kepada bagaimana masyarakat utama menyingkirkan golongan yang dianggap berbeza atau tidak sesuai dengan norma yang ditetapkan.

Mereka ini adalah cerminan sebuah dunia yang masih gagal untuk menyelesaikan isu-isu asas keadilan sosial dan hak asasi manusia walaupun ia seperti terpencil. Di Semporna, pendidikan yang mereka terima di sekolah alternatif dan universiti alternatif ini bukan sekadar pengisian kognitif, tetapi juga pembinaan identiti, jati diri, dan harapan.

Ia mengingatkan kita bahawa pendidikan seharusnya berfungsi lebih daripada sekadar penyampaian ilmu dan sekeping sijil malah ia seharusnya membebaskan, memperkasakan, dan menyembuhkan.

Malah ketika kami disantuni Mukmin dan guru-guru yang lain, seorang mahasiswa lelaki menghidangkan minuman ‘detox’ dan kemudiannya menjelaskan bagaimana air tersebut disediakan dengan menggunakan bahan-bahan yang ditanam di sekitar sekolah dengan keyakinan diri yang tinggi. Ini salah satu pendekatan mudah dan berjaya diterapkan yang membuktikan satu potensi yang positif.

Namun, seperti semua bentuk pendidikan alternatif, usaha ini tidak terlepas dari cabarannya. Bagaimana pendidikan ini dapat memastikan bahawa anak-anak ini bersedia untuk menghadapi realiti kehidupan yang sering kali keras dan tidak memihak?

Bagaimana keseimbangan dicapai antara kebebasan ekspresi yang diberikan melalui seni dan keperluan praktikal untuk hidup di dunia yang memerlukan kemahiran teknikal dan pengetahuan formal? Ini adalah persoalan yang perlu direnungkan oleh semua yang terlibat dalam pendidikan, terutamanya di kawasan-kawasan yang terpinggir seperti Semporna.

Sekolah alternatif dan universiti alternatif di Semporna bukan sekadar sebuah institusi pendidikan bahkan ia adalah perjuangan terhadap ketidakadilan, sebuah protes senyap terhadap dunia yang sering kali melupakan mereka yang berada di pinggir. Mukmin dan Borneo Komrad telah menunjukkan bahawa pendidikan bukan sahaja boleh, tetapi harus, disesuaikan dengan konteks dan keperluan komuniti, terutamanya untuk golongan yang paling rentan.

Dalam sebuah dunia yang semakin dipisahkan oleh sempadan-sempadan politik dan sosial, sekolah dan universiti alternatif ini mengingatkan kita bahawa pendidikan boleh menjadi jambatan bukan sahaja antara ilmu pengetahuan dan pelajar, tetapi juga antara harapan dan realiti.

Di Semporna, di tepi dunia ini, harapan itu masih menyala, dan ia terpancar dari mata-mata anak-anak yang kini berani bermimpi dan tidak lagi dilihat seperti zombie halimunan, kerana mereka tahu bahawa dunia tidak sepenuhnya melupakan mereka.


SYAHRUL MUSA ialah seorang pensyarah kanan dalam bidang Teater di Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen