Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima tepukan gemuruh apabila bercakap dalam bahasa Mandarin dan berkata rakyat Malaysia adalah satu keluarga.
“Melayu, Cina, India, Dayak atau Kadazan, kita semua satu keluarga,” katanya kepada hadirin di Konvensyen Keusahawanan Cina Dunia ke-17 di Kuala Lumpur.
Anwar turut menyatakan perkara sama - juga dalam bahasa Cina - semasa kempen dalam PRU yang lalu, dan berkata ia menjadi prinsip teras kepada pendekatan tadbir urus PH.
Pada 1994, ketika dia menjadi timbalan perdana menteri, dia juga pernah melakar kaligrafi Cina yang bermaksud “kita semua sekeluarga”.
Dalam ucapannya hari ini, Anwar yang juga menteri kewangan berkata Malaysia dan China telah meletakkan asas kukuh bagi peningkatan kerjasama dalam sektor utama dan inovasi yang baru yang akan meningkatkan kedudukan ekonomi kedua-dua negara.

Katanya, Malaysia dan China memiliki hubungan dua hala yang panjang, yang dikuatkan oleh hubungan pelaburan dan perdagangan yang kukuh.
Dia turut membangkitkan kunjungan Perdana Menteri China Li Qiang pada Jun lalu yang menunjukkan persahabatan dan rasa saling hormat antara Malaysia dan China.
“Lawatan itu menyaksikan pemeteraian Kitaran Kedua Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan serta Memorandum Persefahaman mengenai Meningkatkan Kerjasama Pelaburan dalam Ekonomi Digital dan Pembangunan Hijau, antara kedua-dua negara,” katanya seperti dipetik Bernama.
Anwar berkata kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan masyarakat Cina di Malaysia dalam aspek pembangunan sosioekonomi, kebudayaan, ekonomi, pendidikan dan industri.
“Di bawah Kerangka Ekonomi Madani, saya boleh memberi jaminan bahawa kami akan terus memberi keutamaan kepada menambah baik landskap ekonomi kami, dengan menggalakkan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan dan inovasi,” katanya.
Dia juga berkata usahawan Cina telah bekerjasama secara rapat dengan pihak lain dan membina asas untuk menempa jaringan ekonomi dan perniagaan yang lebih mendalam dan kukuh merentasi sempadan negara.

