malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Sebagai Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), saya ingin memberikan penjelasan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, yang menyatakan bahawa pensijilan halal akan membebankan peniaga Malaysia.

Adalah penting untuk kita memahami bahawa pensijilan halal sebenarnya memainkan peranan yang kritikal bagi memperluaskan pasaran produk tempatan ke peringkat antarabangsa yang mana pasaran halal produk dan perkhidmatan dijangka bernilai AS$5 trilion pada tahun 2030.

Malaysia tampil sebagai peneraju dalam industri halal global, menetapkan standard kecemerlangan dan inovasi yang menjadi penanda aras. Kepimpinan Malaysia dalam sektor ini sukar dipertikaikan, sentiasa menjangkau batas baru dan meningkatkan piawaian di peringkat antarabangsa.

Sebagai perintis, Malaysia bukan sahaja memperkukuh posisinya sebagai pihak berkuasa yang dipercayai tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan ekonomi halal global. Usaha ini memastikan pertumbuhan, kelestarian, dan integriti industri terjaga.

Usaha pembangunan halal negara dipacu oleh pelbagai Kementerian dan Agensi Kerajaan. Di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) misalnya, terdapat dua agensi yang memainkan peranan penting dalam industri Halal iaitu Matrade dan Halal Development Corporation (HDC).

HDC merupakan antara agensi di bawah MITI yang melaksanakan khidmat sokongan prapensijilan bagi membolehkan pemain industri cakna dan patuh dengan syarat permohonan. HDC juga membantu mempercepatkan proses permohonan sijil halal melalui penyempurnaan dokumentasi sebelum dihantar kepada Jakim.

Selain itu, HDC juga berperanan menyelaras usaha mengkaji semula standard, pembangunan industri tempatan, promosi produk dan perkhidmatan halal bagi memudahkan pertumbuhan industri halal negara.

Dalam menyokong peranan HDC, Marade giat mempromosikan produk dan perkhidmatan halal Malaysia di pasaran antarabangsa. Sebagai agensi penggalakan perdagangan negara, Matrade memainkan peranan strategik dengan membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran global yang lebih luas melalui program pemasaran dan promosi.

Kerjasama rapat antara Matrade dan HDC memastikan produk halal Malaysia dikenali dan diterima di peringkat antarabangsa, seterusnya memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama dalam industri halal global.

Di samping memenuhi keperluan pengguna Islam dan sejagat, berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian:

1. Peluang pasaran: Dengan pensijilan halal, peniaga Malaysia diberikan akses kepada pasaran global yang luas, merangkumi lebih daripada 1.9 bilion pengguna Muslim di seluruh atau mewakili 24% jumlah penduduk dunia. Ini adalah peluang yang signifikan bagi peniaga untuk meningkatkan jualan dan memperluaskan jenama mereka.

2. Jaminan kualiti: Proses pensijilan halal merangkumi garis panduan keselamatan dan kualiti yang ketat, yang melindungi pengguna dan meningkatkan standard produk. Pensijilan ini membina kepercayaan dan keyakinan pengguna, yang penting dalam memacu peningkatan jualan.

3. Proses yang cekap: Kerajaan, melalui Jakim, sentiasa berusaha memastikan proses pensijilan Halal adalah cekap dan mesra peniaga. Langkah-langkah telah diambil untuk memperbaiki proses ini agar tidak membebankan dari segi masa dan kos.

Manfaat kepada pihak berkepentingan

Selain itu, pensijilan halal juga telah memberikan manfaat yang ketara kepada pelbagai pihak berkepentingan di negara kita:

- Sokongan kepada PMKS: Banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia menghasilkan produk halal untuk tujuan eksport, membuka peluang pekerjaan dan menambah nilai ekonomi negara.

- Peningkatan Eksport: Pensijilan halal mempermudah produk tempatan untuk diterima di pasaran antarabangsa, yang menyumbang kepada peningkatan eksport negara.

- Peluang Pelaburan: Malaysia telah menarik pelaburan asing sebagai pusat pengeluaran produk halal, mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai hab halal global. Selain daripada limpahan ekonomi di peringkat negara, industri halal negara juga berhasil membawa masuk syarikat multinasional untuk melabur seperti Coca-Cola, F&N, Nestle, Kelogg’s dan Hershey’s.

Sumbangan halal kepada eksport pada tahun 2023 adalah sebanyak RM53.72 bilion dan dijangka akan meningkat ke RM75.2 bilion pada tahun 2030.

Lebih signifikan, industri lalal telah menyumbang sebanyak 7.4% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2022 (RM108.5 bilion), dan dijangka meningkat kepada 10.8% menjelang tahun 2030 (RM231.1 bilion). Ini menunjukkan potensi dan peranan strategik industri halal dalam memperkasa ekonomi negara, serta peluang besar yang dapat diterokai oleh peniaga dalam dan luar negara.

Tambahan pula, beberapa acara perdagangan antarabangsa kini memberikan fokus khusus kepada produk Halal. Sebagai contoh, pameran Sial Paris dan Anuga Jerman telah mula menonjolkan produk halal sebagai segmen penting.

Malaysia juga merupakan hos kepada pameran halal terbesar di dunia, yang dianjurkan oleh Matrade, iaitu Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pada 17-20 September 2024 di MITEC. Setiap tahun, MIHAS berjaya meningkatkan jumlah penyertaan pempamer dari dalam dan luar negara. Perkembangan ini menunjukkan bahawa industri halal semakin mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Secara keseluruhannya, statistik dan perkembangan terkini ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin dalam menerajui industri halal global.

Matrade memahami kebimbangan syarikat-syarikat Malaysia dan akan kekal komited untuk terus memberikan sokongan yang diperlukan bagi memastikan pensijilan halal merupakan proses yang memberikan faedah dan bukan bebanan kepada syarikat-syarikat Malaysia, terutamanya pengeksport.

Komitmen teguh Malaysia terhadap amalan halal terus memberi inspirasi dan membina keyakinan di peringkat global, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam industri yang pesat berkembang ini.

Saya berharap penjelasan ini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai kepentingan dan kelebihan pensijilan halal kepada semua pihak.


REEZAL MERICAN NAINA MERICAN merupakan pengerusi Matrade.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen