malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Anak presiden AS mengaku salah elak cukai
ADS

Anak lelaki Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Hunter Biden mengaku bersalah pada Khamis terhadap sembilan pertuduhan dalam kes cukai di Mahkamah Persekutuan Los Angeles.

Hunter Biden, 54, sebelum ini didakwa di California pada Disember lalu atas sembilan pertuduhan berkaitan siasatan Jabatan Kehakiman mengenai cukainya.

Pendakwa raya persekutuan mendakwanya mengelak pembayaran cukai berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 juta.

Lelaki itu sebelum ini mengaku tidak bersalah.

Bagaimanapun pada Khamis, peguamnya memaklumkan kepada mahkamah bahawa Hunter Biden merancang untuk menukar pengakuan sebelum perbicaraan bermula.

ADS

Keputusan mengejut Hunter Biden untuk mengaku bersalah atas pertuduhan jenayah dan salah laku tanpa sebarang perjanjian dengan pendakwa raya dibuat hanya beberapa jam sebelum proses pemilihan juri dijadualkan bermula, lapor stesen televisyen NBC Los Angeles, dipetik Xinhua.

Hunter Biden dengan tenang mengaku bersalah apabila setiap satu daripada sembilan pertuduhan dibacakan oleh hakim, menurut laporan stesen televisyen itu.

Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum sehingga 17 tahun, namun garis panduan hukuman persekutuan dijangka mencadangkan tempoh penjara yang lebih pendek.

ADS

Hukuman dijadualkan pada 16 Disember, sejurus selepas pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2024 yang dijadualkan pada 5 Nov.

Pada Jun lalu, Hunter Biden turut disabitkan atas tiga pertuduhan jenayah senjata api dalam kes berasingan.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen