malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bantuan ibu tunggal, latihan penjaga autistik antara tumpuan KPWKM
Diterbitkan:  Sep 4, 2024 2:18 PM
Dikemaskini: 6:18 AM
ADS

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengemukakan cadangan berhubung bantuan buat ibu tunggal menuntut nafkah daripada bekas suami mereka di mahkamah dalam Belanjawan 2025.

Menterinya Nancy Shukri berkata ia antara perkara diharapkan kementerian berkenaan selepas sesi libat urus dengan pihak berkepentingan yang meminta bantuan kepada ibu tunggal kurang berkemampuan melalui proses mahkamah.

"Kami masukkan itu dalam belanjawan KPWKM supaya dapat membantu ibu tunggal yang terkesan kerana ada dalam kalangan mereka tidak bekerja.

"Bagaimana mereka nak turun naik mahkamah (misalnya), jadi kerajaan cuba membantu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) KPWKM@WPKL di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, Nancy berkata sektor penjagaan warga emas juga antara tumpuan utama KPWKM untuk Belanjawan 2025 terutamanya sebagai persediaan Malaysia yang dijangka mencapai status negara menua menjelang 2030.

Kata Nancy KPWKM turut mencadangkan pembentukan pusat melatih ibu bapa kepada anak autistik bagi membantu mereka memahami serta menjaga anak-anak istimewa terbabit dengan lebih baik.

Menurut ahli parlimen Santubong itu lagi, trend kelahiran yang semakin menurun turut mendapat perhatian KPWKM dalam belanjawan akan datang.

Katanya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan menggiatkan program kesihatan bagi menggalakkan pasangan mendapatkan anak.

Hasil libat urus dengan Persatuan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia, Nancy berkata KPWKM bercadang memasukkan bantuan kepada golongan berkenaan bagi meringankan beban mereka.

Dalam Belanjawan 2024, KPWKM diperuntukkan RM3.52 bilion merangkumi RM3.25 bilion perbelanjaan mengurus dan RM265 juta perbelanjaan pembangunan.

Daripada jumlah itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat menerima peruntukan RM2.4 bilion untuk disalurkan kepada lebih 450,000 rakyat khususnya isi rumah yang berpendapatan rendah, warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen