malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Jakim jelaskan status sijil halal 6 restoran
Diterbitkan:  Sep 3, 2024 1:34 PM
Dikemaskini: 7:34 AM
ADS

Premis Johnny's Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Premis makanan berangkai jenama Ayam Penyet Best pula mempunyai empat outlet yang mempunyai SPHM yang masih sah, kata agensi kerajaan pusat itu.

Kenyataan Seksyen Komunikasi Korporat, Bahagian Pengurusan Halal Jakim itu bagaimanapun tidak memberikan senarai penuh empat kedai itu. 

Semakan di laman web Ayam Penyet Best mendapati mereka mempunyai 15 kedai di Kuala Lumpur dan Selangor.

Jakim mengeluarkan kenyataan itu hari ini susulan tular suratnya berkaitan status sijil halal jenama-jenama di atas, melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) miliknya.

Ayam Penyet Best bagaimanapun menjelaskan dapur pusat mereka yang membekalkan bahan mentah dan makanan ke semua cawangan mendapat sijil halal berkuatkuasa pada 2012. 

Untuk halal premis pula diperoleh bawah syarikat Smart Green Trading Sdn Bhd, berkuat kuasa pada 2021. 

“Seperti yang dinyatakan di atas, kami juga sedang dalam proses mendapatkan pensijilan halal untuk cawangan-cawangan kami secara berperingkat,” katanya.

Semakan Malaysiakini mendapati Bungkus Kaw Kaw berkongsi dapur pusat dengan syarikat induk Ah Cheng, juga jenamakan restoran terkenal, yang mempunyai sijil halal Jakim.

Dolly Dim Sum pula mempunyai sijil bawah nama pemiliknya Asia Mex Sdn Bhd.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada sijil itu untuk dapur pusat atau cawangannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen