Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu menegaskan tiada asas untuk mengenakan pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 terhadap presiden parti itu, Muhyiddin Yassin di Mahkamah Sesyen Gua Musang esok.
Ahmad Faizal berkata ini kerana ucapan Muhyiddin disampaikan secara beralas dan tidak mempunyai unsur provokasi terhadap raja-raja Melayu.
"Tan Sri Muhyiddin di dalam ucapannya secara jelas menyebut bahawa beliau tidak mahu mengatakan apa-apa perkara buruk terhadap raja.
"Malah beliau menyebut ‘tidak mengapalah’. Ini membuktikan bahawa ucapan beliau tidak bertujuan menghasut rakyat terhadap raja,” katanya.
Muhyiddin dijangka didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 esok, berhubung ucapannya yang dibuat semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini.
Bekas perdana menteri itu sebelum ini mendakwa mendapat sokongan 115 ahli Parlimen dalam bentuk akuan bersumpah (SD), yang dikatakan mencukupi untuk dilantik sebagai perdana menteri, susulan keputusan pilihan raya umum ke -15 yang menyaksikan parlimen tergantung.
Kenyataan Muhyiddin itu dianggap mempertikaikan kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kerana tidak memanggilnya untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
Ucapan itu menimbulkan kemarahan pihak istana Pahang, yang kemudiannya membuat laporan polis.
Untuk rekod, Sultan Abdullah menawarkan peluang kepada Muhyiddin untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan PH pimpinan Anwar Ibrahim, namun ditolak Ahli Parlimen Pagoh itu.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, perdana menteri dan ramai lagi pemimpin kerajaan lantang menentang Akta Hasutan 1948 dengan pelbagai cemuhan ketika berada dalam pembangkang.
Malah katanya, mereka juga memperjuangkan pemansuhan Akta tersebut yang dianggap zalim.
"Namun kini, setelah menjadi kerajaan, mereka galak menyalahgunakan Akta Hasutan 1948 yang mereka sendiri kata sebagai zalim untuk menekan dan menindas lawan politik,” katanya.
Mohd Faizal berkata setakat ini antara yang didakwa di bawah akta itu ialah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris dan aktivis politik Chegu Bard.