Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi-agensi berkaitan diseru mengambil langkah tuntas bagi menyelesaikan kejadian banjir kilat berulang di sekitar pusat bandar ibu negara.
Ketua Penerangan Pemuda PKR Wilayah Persekutuan Muhammad Azha Salahudin berkata ini kerana hampir setiap kali musim hujan atau berlakunya hujan lebat, masalah banjir kilat ini hampir pasti akan berlaku terutama di tengah-tengah ibu kota.
“Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan menyeru agar satu pelan tindakan yang baharu atau lebih konkrit dari pihak DBKL dan agensi-agensi yang terlibat dengan penggunaan teknologi terkini yang bersesuaian dapat diimplementasi dalam menyelesaikan masalah banjir kilat ini daripada terus-menerus memberi kerugian kepada individu, masyarakat dan ekonomi.
“Isu banjir kilat yang berlaku di ibu kota Kuala Lumpur semalam merupakan satu isu berulang yang perlu dipandang serius kerana melibatkan kerugian yang tinggi kepada banyak pihak seperti penduduk, warga kerja, syarikat-syarikat dan lain-lain yang terkesan serta membawa kerugian kepada ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Semalam media tempatan melaporkan banjir kilat melanda di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur susulan hujan lebat.
Berdasarkan laporan Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat Kuala Lumpur (KLCCC), lokasi terbabit adalah Segambut Bypass, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Pahang, Jalan Genting-Klang dan Jalan Dutamas.
Banjir kilat dilaporkan turut melanda sekitar Jalan Kepong dan Jalan Kuching menyebabkan kenderaan awam ditenggelami limpahan air.
Pada Mei 2022 dilaporkan sebanyak 14 langkah interim mitigasi banjir yang dilaksanakan DBKL sebelum ini telah berjaya mengurangkan kejadian banjir kilat.
Menterinya ketika itu Shahidan Kassim berkata, banjir kilat yang berlaku pada Rabu menyaksikan langkah mitigasi yang diuar-uarkan sebelum ini menunjukkan keberhasilan apabila air surut dalam tempoh kurang dari 30 minit.
Muhammad Azha berkata, dalam keadaan perubahan iklim yang semakin tidak menentu dan ekstrem, sudah pasti taburan hujan juga boleh menjadi tinggi ditambah dengan pembangunan-pembangunan baharu dan sedia ada di Kuala Lumpur.
“Keadaan itu sedikit sebanyak mengganggu sistem penyaliran yang akan menyebabkan masalah banjir kilat ini lebih kerap terjadi.
“Namun ini bukan alasan untuk membiarkan masalah ini berterusan tanpa penyelesaian,” katanya.

