malaysiakini logo
story-image
ADS

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin sebagai 'gila talak' apabila masih berhasrat untuk menjadi perdana menteri dan mempertikai peranan Yang di-Pertuan Agong dalam pemilihan jawatan itu.

Ahmad Zahid berkata, kenyataan yang dikeluarkan bekas perdana menteri itu jelas menunjukkan dia tidak boleh menerima hakikat mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan hasil perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tegas Ahmad Zahid kenyataan Muhyiddin itu juga mencerminkan Ahli Parlimen Pagoh itu sangat tidak bertatasusila terhadap seri paduka baginda.

“Mungkin orang itu (Muhyiddin) tidak menerima hakikat bahawa titah untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan niat tuanku ketika itu bagi menyatupadukan semua parti-parti gabungan agar tidak berlaku lagi ketidakstabilan dalam politik tanah air.

“Tetapi orang itu mungkin melihat dari aspek gila talak kerana tidak lagi mendapat jawatan itu semula.

“Ia telah terpacul dari mulutnya ketika kempen PRK (Pilihan Raya Kecil) Dun Nenggiri pada hemat saya ia sangat tidak bertatasusila kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas Pidato Piala Datuk Nurul Amal sempena Perhimpunan Agung Umno (Pau) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Muhyiddin sebelum ini didakwa menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.

Muhyiddin mendakwa dia sudah mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang membolehkannya untuk dilantik semula sebagai perdana menteri.

Namun, menurut presiden Bersatu itu, dia tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

Kelmarin, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah murka terhadap kenyataan itu yang disifatkan memperlekeh peranan Sultan Abdullah ketika menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan ucapannya adalah kenyataan fakta dan tidak bermaksud menghina institusi raja, sambil berkata akan menjelaskan perkara itu dalam siasatan polis hari ini.

Calon di DUN Mahkota belum muktamad

Sementara itu, mengulas mengenai PRK Dun Mahkota, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, calon untuk bertanding di kawasan itu masih belum dimuktamadkan.

Menurutnya, satu mesyuarat parti peringkat negeri akan dibuat minggu depan bagi membincangkan soal penetapan calon.

“Minggu depan akan ada mesyuarat bersama Perhubungan Umno Johor dan BN Negeri.

“Selepas itu, kita akan bawa ke mesyuarat biro politik Umno dan dibawa ke mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk kita berikan pemakluman," katanya.

Kerusi DUN Mahkota di Johor kosong berikutan kematian penyandangnya daripada Umno, Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 28 September ini, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen