malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PN Pahang sokong gesaan siasat Muhyiddin
Diterbitkan:  Aug 20, 2024 2:47 PM
Dikemaskini: 7:00 AM
ADS

Adun Perikatan Nasional (PN) di Pahang menyatakan sokongan penuh mereka kepada Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berhubung gesaan supaya Muhyiddin Yassin disiasat.

Ketua pembangkang negeri dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengisytiharkan taat setia mereka yang tidak berbelah bahagi kepada Tengku Hassanal dan ayahandanya Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Adun PN Pahang menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang berhubung ucapan Muhyiddin semasa berkempen di Nenggiri agar satu siasatan yang adil dijalankan atas dakwaan tersebut.

"Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap titah tuanku,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikongsikan di Facebook petang ini.

Tengku Hassanal sebelum ini menggesa siasatan berhubung ucapan pengerusi PN itu berkaitan pelantikan perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15.

“Saya menzahirkan kemurkaan dan rasa terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis telah memperlekeh dan mempertikaikan tugas Al-Sultan Abdullah.

"Kenyataan Muhyiddin ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai perdana menteri,” kata Tengku Hassanal.

Tengku Hassanal juga menyifatkan ucapan itu sebagai "berbahaya" kerana ia menghasut rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi diraja.

Susulan itu, setiausaha sulit Tengku Hassanal memfailkan laporan polis terhadap bekas perdana menteri itu.

Semalam, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mempertahankan ucapannya semasa kempen pilihan raya kecil Nenggiri di Kelantan baru-baru ini.

Pengerusi PN itu juga menegaskan dia tidak bermaksud merendahkan peranan Sultan Abdullah, yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong semasa pilihan raya umum ke-15.

"Saya ingin menegaskan bahawa ucapan saya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.

"Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara," katanya.

Awal hari ini, Pemuda Bersatu membuat laporan polis terhadap lidah rasmki PKR Suara Keadilan kerana didakwa memanipulasi klip ucapan Muhyiddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen