malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam kemuka hujahan 2,500 muka surat mengapa Najib harus dibebaskan
Diterbitkan:  Aug 19, 2024 12:10 PM
Dikemaskini: 5:42 AM
ADS

Peguam Muhammad Shafee Abdullah hari ini memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa hujahan utamanya merangkumi lebih 2,500 muka surat.

Menurutnya, tuduhan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat 1MDB yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak adalah cacat kerana terdapat pelbagai pertindihan terutamanya membabitkan empat pertuduhan utama, seterusnya mengakibatkan ia agak kabur.

Tambahnya, jumlah muka surat itu tidak termasuk hujahan balas yang akan mencecah lebih 3,000 muka surat di akhir hujahan.

“Kami memohon maaf kerana tidak boleh meringkaskan hujahan kami kerana terlalu banyak perkara yang perlu dinyatakan,” kata peguam itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menyalahguna kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan dengan hukuman maksimum penjara 20 tahun, dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa melakukan perbuatan itu di bank sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen