malaysiakini logo
story-image
ADS

Keputusan Tesla untuk tidak membuka kilang di Malaysia membuktikan kegagalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memahami urusan perdagangan.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Mohamed Azmin Ali berkata Malaysia tidak memiliki bahan mentah utama bagi pembuatan kereta elektrik Tesla.

Menurutnya atas alasan itu maka mustahil untuk Tesla melabur di negara ini seperti mana diumumkan Anwar sebelum ini.

"Kita tak ada nikel, kalau ada pun kecil di Sabah, deposit nikel terbesar ini ada di Indonesia, takkan lah dia nak melabur di Malaysia bahan mentah di Indonesia, tak masuk akal.

"Justeru itu, kita lihat Pak Jokowi Presiden Indonesia bergegas bertemu Elon Musk di Amerika Syarikat. Meyakinkan Elon Musk bahawa aku Indonesia ada nikel datanglah ke Indonesia.

"Saya yakin Elon Musk tidak akan melabur di Malaysia, tapi Anwar perasan, dia tak faham tentang perdagangan," katanya ketika becermah di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, malam tadi.

Sebelum ini, Tesla dilaporkan tidak akan membina kemudahan pembuatan kereta elektrik (EV) sama ada di Malaysia, Thailand atau Indonesia.

Akhbar The Nation memetik sumber kerajaan Thailand berkata pengeluar EV itu sebaliknya hanya akan menumpukan kepada pengukuhan ekosistem stesen pengecasan.

Tesla sebelum ini bersedia untuk melabur AS$5 bilion untuk hab pembuatan di Asia Tenggara dan memilih Thailand sebagai lokasi pilihan.

Pada masa sama Malaysia dan Indonesia juga menawarkan peluang untuk Tesla membuka kemudahan pengeluaran mereka.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata sewaktu dia berada dalam kerajaan dan berunding dengan Tesla tumpuan tidak diberikan kepada pembinaan kilang EV.

Sebaliknya kata Mohamed Azmin, sewaktu pertemuannya dengan kepimpinan Elon Musk, mereka membincangkan teknologi satelit.

"Yang saya letakkan pertimbangan saya dengan Elon Musk dan pengurusan tertinggi Elon Musk untuk membawa teknologi satelit...satelit lingkaran rendah," katanya.

Azmin berkata teknologi itu penting bagi membolehkan kawasan pedalaman khususunya di Sabah dan Sarawak dapat menikmati akses internet dengan baik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen