malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tangkap individu menyamar jadi PM, dakwa Tesla mahu buka kilang'
Diterbitkan:  Aug 13, 2024 4:01 PM
Dikemaskini: 8:17 AM
ADS

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang pernah memberi gambaran bahawa Tesla akan membuka kilang di Malaysia.

Ini selepas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini berkata Tesla tidak pernah memberi komitmen untuk membuka kilang di Malaysia.

Pada Ahad, Fadhli berkongsi video di Facebook yang memaparkan Anwar berkata: “Bila dia datang buka pejabat, syarikat, kilang untuk kenderaan eletrik yang baru, kita boleh ambil anak-anak kita berpuluh ribu kerja dengan kita.”

Fadhli secara sinis berkata individu dalam video itu bukan Anwar.

"PMX tak pernah sebut pun Elon Musk datang nak buka kilang, ini semua fitnah geng walaun.

"Individu dalam video ini pula berani menyamar sebagai PM dan sebut Elon Musk datang nak buka kilang. Cepat cari dan dakwa dia," katanya pada hantaran klip video itu.

Video WadahDaily yang dikongsi oleh Fadhli adalah daripada acara Felda pada 28 Julai tahun lepas, di mana Anwar bercakap tentang bagaimana Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr mengagumi Malaysia kerana menarik minat Tesla.

Semasa ucapan yang sama, Anwar berbangga tentang bagaimana bos Tesla Elon Musk - orang terkaya di dunia - telah mencarinya dan bukannya sebaliknya.

Dia berkata ini adalah tanda keyakinan terhadap kestabilan politik dan hala tuju ekonomi Malaysia di bawah kerajaan perpaduan yang dipimpinnya.

Tesla sejak itu telah menubuhkan ibu pejabat di Cyberjaya, dan menjual kereta elektriknya (EV) di negara ini.

Pada Ogos tahun lepas, laporan CNBC menyatakan terdapat rancangan untuk Tesla mengeluarkan bateri EV di Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menarik pelaburan daripada Tesla, syarikat itu telah diberikan pengecualian untuk membenarkan operasi di Malaysia menjadi 100 peratus milik asing.

Entiti asing yang beroperasi di Malaysia biasanya dikehendaki memiliki 30 peratus ekuiti bumiputera.

Bagaimanapun, minggu lalu, portal berita Thailand, The Nation melaporkan bahawa Tesla telah membatalkan rancangan untuk membina kilang pembuatan EV di negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Memetik sumber kerajaan Thailand, The Nation melaporkan bahawa pengeluar EV Amerika Syarikat itu akan memberi tumpuan semata-mata pada stesen pengecasan.

Sebagai tindak balas, Zafrul menjelaskan bahawa kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi perbincangan ini tidak melibatkan penubuhan kilang.

Begitu juga, Anwar mendakwa Tesla mengalami kerugian dan bergelut untuk bersaing dengan persaingan sengit daripada pengeluar EV China.

Sementara itu, wakil dari ibu pejabat Tesla akan bertemu dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada 22 Ogos untuk membincangkan rancangan pelaburan di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen