Tidak wajar untuk mana-mana pihak mengkritik kenyataan Mufti Terengganu Mohamad Sabri Haron bahawa umat Islam dibenarkan memasuki tempat ibadat bukan Islam untuk berdakwah, kata seorang ustaz Umno.
Sebaliknya, menurut Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno Mohd Khairuddin Aman Razali, mereka perlu memahami maksud sebenar dakwah Islam.
“Apabila Mufti Terengganu menegaskan keberadaan orang Islam di rumah ibadat bukan Islam dibenarkan jika dengan tujuan dakwah, ia bermaksud tanggungjawab setiap Muslim ialah membawa mesej Islam termasuk mesej cintakan kedamaian, interaksi kemanusiaan dan sebagainya sama ada secara lisan atau secara pembawaan diri,” katanya.
Terdahulu, Sabri dilaporkan berkata umat Islam dibenarkan mengunjungi rumah ibadat agama lain untuk berdakwah dan memperkenalkan Islam, bukan untuk menyamakannya dengan agama lain.
Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) bagaimanapun tampil menolak pendapat itu.
Menurut mereka, menyebarkan Islam ke rumah ibadat bukan Islam boleh mengakibatkan gangguan ketenteraman.
Naib presiden MCA Wee Jeck Seng pula berkata pandangan mana-mana agama tidak harus dipaksakan ke atas pihak lain.
Dalam kenyataan di media sosial hari ini, Khairuddin berkata, mana-mana majlis perundingan agama bukan Islam tidak perlu sensitif terhadap maksud dakwah Islam.
Bekas anggota parlimen Kuala Nerus, Terengganu itu berkata, dakwah Islam adalah seruan ke arah kedamaian manusia sejagat, bukan hanya mengajak bukan Islam memeluk agama Islam.
Dia juga berkata ulama Islam berbeza pendapat berkaitan hukum memasuki rumah ibadat bukan Islam.
Katanya, Mazhab Syafie yang diamalkan orang Malaysia mengharamkan sekiranya terdapat patung-patung.
Bagaimanapun, katanya, Mazhab Hanafi mengharamkan secara mutlak, Mazhab Maliki memakruhkan dan Mazhab Hambali mengharuskan secara mutlak.
Berkaitan amalan negara-negara Islam pula, dia berkata fatwa Arab Saudi mengharuskan jika ia menjadi permulaan kepada dakwah Islam, dengan syarat tidak dibimbangi terpengaruh dengan akidah dan amalan serta upacara ibadat di situ.