malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid bukan hero, tak perlu dabik dada selamatkan Umno - Dr M
Diterbitkan:  Aug 12, 2024 6:59 PM
Dikemaskini: 6:07 PM
ADS

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menempelak Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang mengaku berjasa menyelamatkan parti itu daripada diharamkan ketika era pentadbiran PH selepas PRU14.

Mahathir menafikan dakwaan Zahid bahawa dia telah cuba untuk mengharamkan Umno, sebaliknya mengingatkan bagaimana parti itu mengalami kekalahan pilihan raya yang paling buruk dan buat kali pertama tersingkir dari Putrajaya.

"Zahid tidak perlu mendabik dada sebagai hero yang menjatuh saya dan menyelamat Umno.

"Zahid bukan hero. Dia hanya seorang yang menghadapi tuduhan dalam mahkamah dan sanggup bekerjasama dengan musuh ketat Umno, iaitu DAP, supaya jadi timbalan perdana menteri demi menyelamatkan dirinya daripada dibicara berkenaan kesalahannya," kata Mahathir merujuk ucapan Zahid ketika mesyuarat bahagian Umno Cameron Highlands baru-baru ini.

Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan rasuah yang berkaitan dengan berjuta-juta ringgit dari Yayasan Akalbudi pada 2018, dan diperintahkan untuk membela diri pada Januari 2022.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023, memberikan Zahid pelepasan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan (DNAA).

Sementara itu, Mahathir juga mengingatkan presiden Umno itu pada sekurang-kurangnya dua pertemuan peribadi, dia telah menasihatkan Zahid bahawa parti itu telah menyimpang dari perjuangan asalnya.

"Oleh kerana perjuangan tidak sama dengan perjuangan asal Umno, hak untuk dikenali sebagai parti Umno sudah hilang.

"Oleh itu adalah lebih baik bagi nama Umno tidak diguna dengan cara membubar parti yang mengguna nama Umno.

"Zahid tidak bersetuju dan tidak membubar partinya yang mengguna Umno," kata Mahathir.

"Saya tidak boleh dijatuh oleh Zahid atau Umno (pimpinan)nya. Parti yang kalah tidak berhak jatuh parti yang menang.

"Selepas berjumpa Zahid kali kedua, beliau cuba jelaskan yang dia tidak bersalah dalam tuduhan rasuah yang disebar umum. Saya jelaskan saya tidak berkuasa membebaskan beliau," katanya lagi

Selanjutnya, Mahathir menegaskan dia telah meletakkan jawatan perdana menteri pada Februari 2020 selepas Bersatu - parti yang diasaskannya selepas keluar Umno - enggan mengikut nasihatnya.

"Pada kebiasaannya apabila seorang pemimpin tidak lagi diberi kepercayaan oleh pengikutnya dia, secara terhormat sepatutnya letak jawatan.

"Dan itulah yang saya lakukan," kata Mahathir yang mencapai usia 99 tahun pada bulan lalu.

Peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri dan peristiwa seterusnya yang berkaitan dengan ‘Langkah Sheraton’ akhirnya menyaksikan pembentukan kerajaan PN di bawah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang pada masa itu bekerjasama dengan BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan Star.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen