Seorang mangsa penggodaman masih berpeluang untuk mendapatkan semula lebih RM3.3 juta dalam bentuk mata wang kripto yang hilang daripada akaunnya tiga tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Februari lalu menolak permohonan untuk membatalkan saman Yew See Tak terhadap CG Computers Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan Apple yang sah.
Dua pengarah syarikat itu cuba membatalkan saman berkenaan dan menafikan terlibat dalam sebarang salah laku yang dikaitkan dengan iPhone X milik Yew, yang juga merupakan seorang ahli perniagaan.
Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Yew, Ong Yu Jian mengesahkan keputusan itu, namun memaklumkan tarikh perbicaraan belum ditetapkan untuk saman sivil berkenaan.
Yew baru-baru ini mencuri perhatian apabila mengambil tindakan di mahkamah berasingan di Selangor selepas mendakwa kehilangan sebanyak RM598,000 daripada akaun platform kripto, Luno.
Dalam saman yang difailkan di Pulau Pinang, dia mendakwa RM598,000 itu hanyalah sebahagian daripada kerugian lebih besar sebanyak RM3.3 juta yang ditanggungnya selepas dia menghantar telefonnya untuk dibaiki pada 2021.
Menurut pernyataan tuntutannya yang dilihat oleh Malaysiakini, Yew mendakwa penggodaman itu berlaku selepas dia meninggalkan telefonnya buat sementara waktu di kedai CG Computers pada 12 Jan tahun itu.
Lelaki berusia 50 tahun itu berkunjung ke kedai Switch SC di Sunway Carnival Mall di Pulau Pinang selepas dia tidak dapat menghidupkan telefonnya.
Ketika di sana, Yew dikatakan dimaklumkan oleh pekerja firma itu bahawa telefonnya memerlukan pemasangan semula perisian Apple IOS, dan dia perlu berkongsi ID Apple dan kata laluannya untuk tujuan itu.
Yew didakwa bersetuju untuk berkongsi butiran berkenaan dan meninggalkan telefon itu di kedai tersebut buat sementara waktu selama dua jam. Dia kemudian kembali ke kedai itu untuk mendapatkan kembali telefon bimbitnya.
Pada 6 Mac 2021, dia berasa curiga apabila menerima pemberitahuan bahawa akaun Yahoo Mail miliknya disekat kerana berlaku lambakan SMS, walaupun telefonnya tidak pernah menerima mesej sedemikian.
Selepas pemeriksaan lanjut, Yew mendapati dia bukan sahaja kehilangan mata wang kripto daripada Luno, tetapi juga mengalami kerugian kripto bernilai AS$587,000 (RM2.389,383.50 kemudiannya) daripada dompet kripto Nano Ledger miliknya.
Yew mendapati dia juga mengalami kerugian kripto sebanyak AS$58,000 (RM236,089 pada kadar pertukaran ketika itu) daripada akaunnya dengan platform luar negara Binance, dan RM36,000 (RM146,538 pada kadar pertukaran ketika itu) daripada akaunnya dengan platform antarabangsa, Blockchain.
Pelabur itu mendakwa dia tidak membenarkan mana-mana pemindahan tersebut keluar dari akaunnya, yang didakwa berlaku selepas meninggalkan telefonnya buat sementara waktu di kedai telefon terbabit.
Yew mendakwa bahawa kakitangan syarikat itu mereplikasi maklumat peribadi sensitif miliknya daripada telefon bimbit berkenaan.
Ahli perniagaan itu mendakwa syarikat itu enggan memberikan kerjasama apabila berdepan dengan perkara itu, yang membawa kepada tindakan saman di mahkamah.
Yew menuntut sebanyak RM3,369,930.55 sebagai ganti rugi khas daripada syarikat itu dan tujuh defendan lain.
Dalam pernyataan pembelaannya, syarikat itu menafikan terlibat dalam salah laku berkaitan traksaksi mata wang kripto tersebut.
Syarikat itu menegaskan bahawa kakitangannya telah memberi keterangan kepada polis di mana dia menafikan pernah meminta ID Apple dan kata laluan daripada Yew.
Syarikat itu juga berpendapat ia tidak mempunyai pengetahuan tentang akaun kripto Yew.
Setelah gagal membatalkan saman Yew, dua pengarah syarikat itu membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.
Yew diwakili oleh firma guaman Raj Ong & Yudistra. Manakala JB Lim & Associates mewakili syarikat tersebut.

