Tindakan polis memanggil tiga wartawan Malaysiakini untuk disoal siasat hari ini hanya akan memberi imej buruk kepada pasukan keselamatan itu, kata tokoh wartawan negara, Johan Jaafar.
Ini susulan tindakan pihak berkuasa itu memanggil wartawan berkenaan berhubung laporan yang mendakwa Bukit Aman sedang merancang rombakan besar-besaran melibatkan pimpinan tertingginya.
"Tindakan sedemikian akan hanya dilihat sebagai usaha pihak polis untuk mengganggu wartawan yang mahu menjalankan tugas mereka. Ini akan memberikan imej yang buruk pada polis dan kesan bahawa pasukan polis tidak boleh “ditegur” langsung,” katanya dalam kenyataan.

Johan berkata menulis laporan yang bersifat spekulasi bukan baru dalam amalan kewartawanan dan wartawan membuat spekulasi tentang hampir semua isu termasuk kemungkinan rombakan kabinet atau perubahan pimpinan korporat.
"Saya secara perbadi tidak melihat laporan dalam Malaysiakini itu berniat jahat atau berunsur fitnah,” katanya sambil menambah media bebas adalah teras negara demokrasi.
Tugas wartawan pertahankan sumber
Sementara itu, Johan juga menyatakan rasa kesal dengan cadangan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bahawa anggota media patut bekerjasama dengan pihak berwajib dalam soal mendedahkan sumber berita.
"Tugas wartawan mempertahankan sumber mereka amat penting dan tidak boleh digalang ganti.

"Saya bersetuju sepenuhnya dengan Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) bahawa “kerjasama” dalam sebarang penyiasatan oleh pihak berkuasa tidak seharusnya memasukkan tuntutan untuk mendedahkah identiti sumber.
"Ini bertentangan sama sekali dengan kod etika yang dikeluarkan sendiri oleh kementerian," jelasnya.
Terdahulu, tiga wartawan Malaysiakini iaitu B Nantha Kumar, Hariz Mohd dan Shahrin Aizat Noorshahrizam dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini berhubung satu laporan berita disiarkan portal itu.
Laporan yang memetik sumber itu mendakwa PDRM sedang merancang rombakan besar-besaran melibatkan pertukaran pegawai tertingginya ke agensi lain, termasuk membabitkan Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay.
Bagaimanapun Ketua Polis Negara Razarudin Husain menafikan dakwaan tersebut.

