malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bukan 'sorok perkahwinan' tapi strategi BN - Shamsul Anuar
ADS

PRK NENGGIRI | Umno menyifatkan ketiadaan pemimpin DAP kempen untuk calon parti kerajaan kali ini adalah pendekatan yang diambil berdasarkan situasi kawasan terbabit.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Shamsul Anuar Nasarah, juga menafikan dakwaan pembangkang bahawa langkah itu sama seperti cubaan "menyorok perkahwinan".

Katanya, BN memang ada pendekatan sendiri dan faham dakwaan dibuat PN mengenai analogi menyorok perkahwinan itu pula merupakan strategi mereka.

"Tapi, yang penting kita akan berdepan dengan rakyat Nenggiri dengan penuh berhemah, dengan mesra, dan nak pastikan apa yang kita (BN) impikan terutama nak bangunkan rakyat di sini tercapai.

“Kalau rakyat beri peluang kepada calon kita ia dapat membawa pembangunan dan kebajikan,” katanya.

Shamsul Anuar berkata demikian selepas menghadiri program bersama Rela di Dewan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Gua Musang, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin, menganggap tindakan Umno tidak menggalakkan DAP daripada berkempen di Nenggiri sekadar cubaan untuk merahsiakan 'pekahwinan' mereka melalui pembentukan kerajaan perpaduan.

Dakwa Radzi, Umno berbuat demikian kerana sedar orang Melayu khususnya pengundi Umno tidak suka pada kerjasama parti itu dengan DAP.

"Umno cukup runsing kalau DAP mari ke Nenggiri kot-kot orang Nenggiri tahu dia (Umno) 'nikah' dah dengan DAP.

"Ini taktik Umno ni dia anggap orang Nenggiri tak dapat maklumat. Dalam keadaan sekarang Umno tidak mendominasi kerajaan. Ini diakui sendiri oleh Presiden Umno," katanya ketika berucap di Ladang Sungai Terah, malam tadi.

Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, situasi kempen PRK DUN Nenggiri setakat ini masih dalam keadaan terkawal dan belum ada sebarang aduan dibuat berkait isu 3R.

"Mana-mana pilihan raya diadakan kita sentiasa sebut bahawa jangan sentuh isu 3R, bukan makna tak boleh cakap tapi jangan langgar peraturan.

"Kita harap semua pihak sama ada parti kerajaan atau pembangkang kena jaga, jangan sentuh sensitiviti 3R," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen