Wakil Meta akan datang ke Kuala Lumpur pada minggu depan untuk menjelaskan mengapa hantaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai pembunuhan Ismail Haniyeh diturunkan.
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata keputusan mengetepikan hantaran Anwar itu tidak dibuat oleh pasukan Meta untuk rantau Asia.
Bahkan, kata Fahmi, ia dibuat oleh pihak pengurusan tertinggi Meta.
“Sehingga tengah hari ini, Meta tidak memaklumkan (penjelasan) kepada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia), tetapi dalam perbincangan dengan pegawai serantau Asia Meta, mereka tidak menunjukkan bahawa tindakan tersebut datang daripada mereka.
“Kemungkinan keputusan tersebut dibuat di peringkat lebih tinggi, mungkin dari pangkat berbeza. Kami akan dapatkan pengesahan," katanya yang dipetik NST hari ini.
Tambah Fahmi, langkah diambil Meta itu sangat mengecewakan kerajaan.
"Kita akan mendapatkan penjelasan lanjut sebelum kerajaan mempertimbangkan tindakan selanjutnya.
"Kejadian sebegini tidak sepatutnya berlaku," katanya lagi.
Menurut Fahmi, seorang wakil Meta telah memaklumkan kepadanya bahawa perkara itu dalam siasatan pihak mereka.
Sebarang bentuk tindakan terhadap Meta, kata Fahmi, hanya akan diputuskan dan diambil selepas penjelasan diterima daripada mereka.
"Kami sedang mempertimbangkan pilihan yang ada.
"Kami memerlukan penjelasan daripada Meta terlebih dahulu kerana pegawai wilayahnya kelihatan sangat keliru dengan situasi ini, dan saya tidak menyalahkan mereka.
"Delegasi Meta akan tiba minggu depan, dan kami akan menunggu sehingga mereka sampai," katanya.