malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS restui, percaya penuh pada Rizwadi di Nenggiri
Diterbitkan:  Aug 2, 2024 11:25 AM
Dikemaskini: 3:25 AM
ADS

PRK NENGGIRI | Sehari sebelum penamaan calon yang akan berlangsung esok, Abdul Hadi Awang tampil menzahirkan sokongan penuh partinya terhadap calon Mohd Rizwadi Ismail untuk mewakili PN.

Dalam kenyataan media hari ini Abdul Hadi menegaskan pemilihan bekas ketua Pemuda PAS Gua Musang terbabit - yang baru saja meninggalkan parti tersebut untuk menyertai Bersatu - bersesuaian dengan suasana setempat.

Tambah presiden PAS itu lagi Mohd Rizwadi juga mesra anak muda dan dekat dengan masyarakat setempat, justeru menjadi faktor terpenting untuk PN memilihnya sebagai calon.

Tidak ketinggalan Abdul Hadi turut memetik faktor kekuatan jentera pilihan raya yang menjadi sandaran mereka di kerusi yang terletak dalam kawasan parlimen Gua Musang itu.

“Berbekalkan disiplin ketenteraan dan proses pentarbiahan yang telah teruji, PAS merestui dan menaruh kepercayaan terhadap saudara Rizwadi untuk menggalas tugas sebagai calon PN, seterusnya menjadi wakil rakyat yang akan membela kebajikan dan kesejahteraan hidup seluruh warga Nenggiri,” katanya.

Sebelum ini Mohd Rizwadi yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia dilaporkan meninggalkan parti itu satu atau dua hari untuk menyertai Bersatu, sekali gus menjadi calon parti itu dalam PRK tidak lama lagi.

Mohd Rizwadi sendiri dilaporkan berkata pada asalnya dia memang keberatan untuk tinggalkan PAS kerana sedar tanggungjawab besar yang perlu digalas walaupun ia sebenarnya menjadi langkah awal sebelum dicalonkan bagi PRK Nenggiri.

Namun katanya yang dipetik harakahdaily, dia akur selepas diminta "berkali-kali" oleh pihak atasan PAS termasuk dalam kalangan pemimpin tertinggi parti tersebut.

Dia yang juga bekas setiausaha Dewan Ulama PAS Gua Musang menjelaskan, tidak timbul isu dia meninggalkan PAS dan menyertai Bersatu kerana ia merupakan isu "teknikal" demi mempertahankan Nenggiri agar terus dimenangi PN.

Abdul Hadi berkata PAS akan menggerakkan jentera parti itu di peringkat negeri dan seluruh negara bagi memenangkan Mohd Rizwadi yang akan menggunakan logo bulan.

“Diharapkan proses penamaan calon dan tempoh berkempen akan berlangsung secara matang, adil dan saksama,” kata ahli parlimen Marang itu.

Mohd Rizwadi akan berdepan saingan calon BN Mohd Asmawi Fikri Abdul Ghani yang juga ketua pemuda Umno Kelantan.

Merusi Nenggiri diisytiharkan kosong selepas Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah menerima notis yang dihantar oleh Bersatu berhubung pindaan perlembagaan yang dilakukan mereka.

Sebelum itu penyandang kerusi Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, memberikan sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen