malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan setuju buka semula kes Beng Hock, janji lebih telus
Diterbitkan:  Aug 1, 2024 5:59 PM
Dikemaskini: 10:38 AM
ADS

Kerajaan bersetuju supaya pihak polis membuka semula kertas siasatan berkait kes kematian mendiang Teoh Beng Hock, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar turut memberi jaminan siasatan kali ini akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak, khususnya mengambil kira pandangan Mahkamah Rayuan pada 5 September 2014 berhubung kes tersebut.

"Saya mendengar segala keluhan dan beberapa permintaan daripada pihak keluarga.

“Saya telah lama mengikuti rapat kes ini dan memahami kesedihan serta penderitaan keluarga yang telah sekian lama memperjuangkan keadilan buat mendiang," katanya dalam hantaran di media sosial, petang ini, sambil melampirkan gambar pertemuannya dengan keluarga mendiang.

Pertemuan itu dihadiri ibu bapa mendiang Teng Shuw Hoi dan Teoh Leong Hwee, anak mendiang Teoh Er Jia dan adiknya Teoh Lee Lan.

Isteri mendiang, Soh Cher Wei turut hadir di bangunan Jabatan Perdana Menteri namun tidak menyertai pertemuan itu.

Turut hadir Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Bercakap kepada pemberita di luar pejabat perdana menteri, Ramkarpal yang juga peguam keluarga mendiang berkata Anwar akan bertemu Ketua Polis Negara Razarudin Husain tidak lama lagi mengenai perkara itu.

"Anwar telahpun menyatakan bahawa dia akan membangkitkan perkara ini dengan pihak polis, KPN dalam masa yang terdekat.

"Dan apa-apa langkah follow up juga akan dimaklumkan kepada keluarga Beng Hock melalui saya selaku peguam keluarga mendiang, " katanya.

Dalam gambar yang dikongsikan Anwar di Facebook menyaksikan dalam pertemuan di Putrajaya itu, Leong Hwee (ayah mendiang) berkerusi roda dan memegang sekeping gambar Beng Hock.

Pada 17 Julai lalu perdana menteri menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan keluarga mendiang.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009, di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat semalaman di Ibu Pejabat SPRM Selangor, dan dipercayai terjatuh dari tingkat 14 bangunan itu.

Sebelum ini, Lee Lan menggesa DAP menggunakan kekuatan yang dimilikinya di Parlimen bagi menggesa agar kematian abangnya disiasat sebagai kes bunuh.

Dalam ucapan ketika acara ulang tahun ke-15 kematian Beng Hock pada 22 Julai lalu, dia berkata mahkamah telah memutuskan kematian abangnya sebagai homisid.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan kematian Teoh berpunca daripada tindakan seorang atau beberapa orang tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM yang menyoal siasatnya.

"Kami harap DAP dapat menggunakan kekuatan 48 kerusi Parlimennya dalam kerajaan perpaduan untuk menyeru siasatan kes Beng Hock dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan bunuh).

"Kami harap DAP dapat gunakan kuasanya untuk mengubah kes ini dan menyuarakan kekecewaan yang telah kami suarakan sepanjang 15 tahun ini. Tangkap pelaku dan dakwa mereka di mahkamah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen