malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Umno tuntut pampasan RM100 juta dari Adun Rembia
ADS

Umno akanmemulakan tindakan undang-undang terhadap Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis bagi menuntut ganti rugi dan pampasan RM100 juta kerana berpaling tadah daripada parti itu.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam ini.

"Mesyuarat telah mempertimbangkan dan bersetuju untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta sebagaimana perjanjian yang dimeterai terhadap wakil rakyat yang telah meninggalkan dan membelakangi pendirian parti," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Bulan lalu, Jailani yang digantung selama enam tahun daripada Umno, berkata dia mengambil keputusan itu selepas Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh memungkiri janji yang dibuat kepada rakyat dalam manifesto pilihan raya negeri 2021.

Asyraf turut menunjukkan salinan perjanjian yang ditandatangani Jailani, yang menetapkan semua wakil rakyat daripada parti itu mesti melepaskan keahlian mereka sekiranya menentang keputusan parti, dan membayar RM100 juta sebagai pampasan.

Sementara itu, Asyraf berkata semua anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno akan ditugaskan untuk menyelaraskan jentera parti di semua daerah mengundi di Nenggiri, bermula hari penamaan calon pada 3 Ogos.

Pada 18 Julai, Umno mengumumkan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon bagi kerusi DUN Nenggiri manakala PN melalui Bersatu mempertaruhkan bekas timbalan ketua pemuda PAS Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail.

Dalam pada itu, Asyraf berkata Umno bertekad terus mendukung perjuangan pembebasan Palestin dan bersama Hamas, Fatah serta seluruh rakyat Palestin yang ditindas dan dirampas hak mereka oleh Zionis Israel.

"Umno melalui wakil parti dalam kerajaan perpaduan Malaysia akan terus memperjuangkan hak dan menuntut keadilan di pentas antarabangsa agar kekejaman dan sifat kebinatangan Israel dihukum sekeras-kerasnya oleh masyarakat dunia dan negara-negara yang ikhlas cintakan keamanan dan keadilan," katanya.

Terdahulu, dilaporkan bahawa pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh di kediamannya di Tehran, Iran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen