Mahu menyerahkan barang - itu alasan seorang pemimpin NGO yang sebelum ini dikenali gigih mengumpul dana bagi membantu Palestin ketika dia diperiksa penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah hotel semalam.
Sebelum itu lelaki terbabit didapati berada dalam sebuah bilik bersama seorang wanita - juga aktivis NGO - dalam keadaan mencurigakan.
Menurut sumber yang dipetik Harian Metro, lelaki berusia 40-an berkenaan memasuki bilik hotel kira-kira jam 2 petang, manakala wanita terbabit sudah tiba di situ lebih awal.
"Dia ditahan sepasukan pegawai Jawi ketika berdua-duaan dengan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an," kata sumber tersebut.
Menurutnya lagi pemeriksaan dibuat kira-kira jam 4.45 petang.
Laporan itu mendakwa suspek lelaki itu sudah berkahwin dan mempunyai anak. Dia dikenali sebelum ini kerana aktif mengutip derma bagi mengisi tabung Palestin NGO miliknya antara enam hingga lapan tahun lalu.
Ketika pemeriksaan dilakukan, lapor Harian Metro, lelaki berkenaan cuba untuk melarikan diri namun gagal. Dia juga memberi alasan bertemu wanita terbabit kerana mahu memberikan barang tertentu.
"Lelaki itu pernah berkongsi pentas forum berhubung konflik di Palestin bersama seorang duta dari negara di Timur Tengah.
"Lelaki itu juga merupakan antara individu yang lantang bersuara di media sosial dan media massa berhubung peperangan Palestin-Israel," katanya.