Kakitangan Hospital Sungai Buloh membangkitkan kebimbangan berkenaan system pemantauan untuk memantau dan merakam pesakit di jabatan kecemasan.
Menurut pembocor maklumat, kakitangan perubatan melakukan prosedur kritikal di dua stesen dalam unit trauma dan dalam keadaan itu, pakaian pesakit dibuang.
Mereka juga mendakwa imej yang diaparkan menggunakan siaran langsung yang tidak ditapis, termasuk pada monitor yang boleh dilihat kakitangan tidak berkaitan dan malah pesakit lain.
"Satu isu besar adalah siaran langsung daripada kamera dipapar secara terbuka di beberapa skrin monitor di luar ruang rawatan, termasuk di atas kaunter jururawat dan dalam bilik rehat kakitangan.
"Sesiapa saja boleh melihat apa yang berlaku di ruang rawatan menerusi krin ini, termasuk ketika resusitasi dijalankan, di mana pakaian pesakit perlu dibuang," kata seorang kakitangan yang enggan dinamakan, kepada Malaysiakini.
Seorang lagi berkata kebanyakan pesakit yang dirawat di unit trauma tidak tahu akan kamera tersebut memandangkan mereka berada dalam keadaan kritikal.

Pesakit yang dalam keadaan sedar akan diberitahu tentang kamera itu, katanya lagi.
"Biasanya, kami memang tak ada masa untuk dapatkan kebenaran kerana semua orang sibuk dengan tugas.
"Saya boleh faham jika hospital nak letak kamera atas sebab keselamatan. Tak mengapa jika kamera dipasang di Kawasan yang tidak kritikal, tetapi kenapa perlu ada kamera di ruang resusitasi dengan risiko keselamatan yang rendah?" soalnya.
Berdasarkan beberapa gambar yang dikongsi dengan Malaysiakini, siaran langsung itu boleh dilihat dipapar di monitor di beberapa tempat dalam unit tersebut, termasuk di laluan berdekatan sebuah katil pesakit.

Satu lagi monitor dipasang di belakang sebuah bilik, yang dikatakan menjadi tempat kakitangan berehat.
Selain dua stesen resusitasi, sumber berkata rakaman kamera turut meliputi empat wad pemerhatian, iaitu di mana pesakit kritikal ditempatkan.
Siaran langsung itu turut didakwa boleh diakses kakitangan tertentu di mana-mana lokasi - termasuk menerusi komputer dan telefon.
"Apa yang saya tahu, ada yang menggunakan siaran langsung itu untuk memantau kerja kakitangan mereka secara jauh, termasuk dari bilik mesyuarat dan rumah mereka.
"Jika begitu, bagaimana kita dapat pastikan rakaman tidak disalah guna atau tidak dilihat oleh mereka yang tak berkaitan?" soal seorang lagi kakitangan.
Malaysiakini telah menghubungi pihak pentadbiran Hospital Sungai Buloh dan Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan maklum balas berkenaan dakwaan ini.
Seorang jurucakap kementerian berkata kenyataan akan dikeluarkan nanti.

