Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kebebasan bersuara tetap wujud di media sosial walaupun dengan rancangan kerajaan untuk memperkenal lesen dan kawal selia untuk platform tersebut.
Kenyataan Anwar itu di tengah kritikan daripada aktivis, antaranya bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasa ang menyifatkan pentadbiran Anwar sebagai "kerajaan paling diktator yang kita pernah ada".
"Kebebasan mesti diberikan untuk orang menyuarakan (pandangan), sama ada setuju, menegur atau menentang," katanya di Putrajaya hari ini.
Menurut Anwar, rancangan untuk mengawal selia media sosial adalah untuk membanteras jenayah seperti buli siber, salah laku seksual terhadap kanak-kanak dan penipuan.
"Di media sosial ini, (ada yang) digunakan untuk mendorong orang sehingga menyebabkan bunuh diri, memperalatkan anak kecil untuk urusan dagang seks, apakah ini wajar?
"Bila kita kata haru sekat (jenayah seumpama itu), dikatakan jangan sekat kebebasan.
"Apakah kebebasan untuk menipu, mencuri, (menyebabkan orang lain) bunuh diri dan sebagainya?" soalnya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan kerangka kawal selia itu akan diperkenalkan pada 1 Ogos ini menerusi Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).