malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Badan peguam pada Guan Eng: Jangan politikkan isu sumbangan syarikat arak
Diterbitkan:  Jul 27, 2024 1:46 PM
Dikemaskini: 5:46 AM
ADS

Badan Peguam Syarie Wilayah Wilayah Persekutuan memberi peringatan kepada Pengerusi DAP Lim Guan Eng agar tidak mempolitikkan isu sumbangan dana daripada syarikat minuman keras kepada sekolah.

Presidennya Zainul Rijal Abu Bakar menegaskan perkara itu bukannya isu politik atau keagamaan sepenuhnya, sebaliknya turut berkaitan pendidikan dan kesihatan.

“Malah dalam acara sukan pun sudah lama ada larangan bagi promosi syarikat minuman keras. Sekali lagi ia bukan isu politik atau keagamaan secara seratus peratus. Syarikat judi dan tembakau juga menghadapi larangan yang sama atas dasar sama.

“Malah larangan yang sama juga ada dilaksanakan di negara-negara luar. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menyatakan secara spesifik promosi dan pengiklanan alkohol mestilah dikawal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia turut membangkitkan dasar 'framework for alcohol policy' oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) Eropah pada 2025, yang antara lain menyatakan kanak-kanak orang dewasa ada hak untuk hidup dalam persekitaran yang dilindungi daripada kesan negatif minuman beralkohol.

Zainul Rijal mengulas kenyataan Lim yang menempelak Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek supaya tidak berpendirian seiring dengan PAS dan Pemuda Umno dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dan menegaskan dia bukan "menteri pendidikan PAS”, sebaliknya mewakili PH, kerajaan perpaduan dan seluruh negara.

Lim Guan Eng

Menyifatkan komen Fadhlina sebelum ini berkenaan perkara itu agak keras, Lim berkata pendirian DAP adalah usaha mengumpul dana untuk Pendidikan Cina tidak boleh diganggu gugat, dan pendirian itu telah dibangkitkan dalam kabinet.

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia berkata kerajaan mengekalkan garis panduan sedia ada untuk kutipan dana sekolah yang termasuk larangan sebarang pameran dan promosi minuman beralkohol di premis sekolah.

Bagaimanapun kerajaan juga bersetuju untuk mempertimbangkan membenarkan sekolah vernakular terus menerima sumbangan melalui lembaga pentadbiran sekolah, seperti yang diamalkan sebelum ini.

“Bagaimanapun, kabinet menegaskan bahawa penganjuran sebarang aktiviti melibatkan mana-mana jenama minuman beralkohol tidak boleh melibatkan mana-mana pelajar Islam,” kata KPM.

Mengluas lanjut, Zainul Rijal membangkitkan garis panduan KPM melarang sumbangan daripada hasil kegiatan perti perjudian, rokok dan minuman keras kerana aspek-aspek itu boleh menjejaskan perkembangan dan potensi murid.

“Oleh itu saya sekali lagi Lim, isu sumbangan syarikat arak ini bukanlah isu politik ataupun keagamaan secara seratus peratus

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Fadhlina yang bertegas melaksanakan pekeliling Kementerian tanpa gentar demi menjaga kemaslahatan murid-murid sekolah yang bukan sahaja merupakan pemimpin pada masa akan datang tetapi harapan pada hari ini,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen