malaysiakini logo
story-image
ADS

"Kita tidak bebas meskipun itu kawasan kita," kata Setiausaha Kelab Pemancing Miri, Vincent Lo.

Dia memberitahu Malaysiakini mengenai kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG) di Laut China Selatan, khususnya di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali.

Katanya, situasi ini menyukarkan mereka untuk turun ke laut bagi tujuan memancing kerana khuatir akan diganggu CCG.

"Macam kita tak bebas nak pergi ke sana yang juga kawasan kita sendiri.

"Bagi saya banyak aktiviti perlu diadakan di sana untuk menunjukkan bahawa itu kawasan kedaulatan Kita," katanya.

Dia mengakui dalam masa terdekat ini tiada gangguan terhadap pemancing ataupun nelayan, bagaimanapun mendakwa sebelum ini ada kejadian pengusiran nelayan dilakukan oleh kapal China itu.

"Ada nelayan yang juga kaki pancing jumpa CCG di dalam kawasan perairan 70 batu nautika dan nelayan tidak berani untuk mendekati.

"Sebelum ini ada bot nelayan dihalau balik oleh CCG apabila hampir pada kawasan yang dironda mereka walaupun itu kawasan perairan kita," kata Lo.

Data kapal CCG meronda kawasan Beting Patinggi Ali dari 23 Disember 2019 ke 13 Januari 2020.

Mengulas lanjut Lo berkata, mereka perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa jika ingin turun ke laut berhampiran dengan kawasan rondaan CCG.

Katanya lagi, Jabatan Perikanan juga sentiasa melakukan sesi dialog bersama nelayan dan juga pemancing.

Pada Januari tahun Kementerian Pertahanan (Mindef) menjelaskan bahawa Beting Patinggi Ali adalah milik Malaysia dan tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak lain memandangkan ia di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

"Kedaulatan negara akan terus dipelihara dan sentiasa menjadi keutamaan MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," kata Mindef.

Mindef dalam kenyataan memaklumkan, dari sudut geografi, Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak dan dalam kawasan perairan ZEE Malaysia.

China merujuk Beting Patinggi Ali sebagai Nánkāng ànshā dan Beijing menganggap ia bahagian paling selatan wilayahnya kira-kira 2,000km dari tanah besar negara itu.

Sejak lebih sedekad, kapal China kerap membuat rondaan di perairan negara yang menjadi pertikaian, termasuk di Beting Patinggi Ali.

Laporan Ketua Audit Negara (KAN) 2018 Siri 3 pula mendedahkan kapal Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (PLA) direkod menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.

Malaysia telah berulang kali mengemukakan nota bantahan diplomatik atas pencerobohan wilayahnya ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin pada April lalu menegaskan pentingnya kehadiran berterusan pasukan keselamatan mengawal perairan Malaysia untuk mengelakkan berlaku satu lagi insiden "Pulau Batu Puteh".

Khaled ketika itu menjawab dakwaan penampakan kapal Pengawal Pantai China (CCG) di perairan Sarawak oleh sekumpulan nelayan tempatan.

Untuk rekod, China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan yang dinamakan sembilan garisan putus, termasuk kawasan perairan Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara.

Dalam perkembangan berkaitan, Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Mohd Mizan Mohammad Aslam (gambar atas) berkata Malaysia perlu menyelesaikan isu berkenaan secara berhemah.

Keberadaan CCG di kawasan perairan Malaysia bukan saja memberi ancaman kepada keselamatan negara, tetapi katanya turut menganggu pendapatan negara.

"Saya tengok dari segi kedaulatan negara itu pasti, sebab kita ada zon ekslusif kita. Yang mana secara automatik akan diambil pihak lain jika kita tidak berkeras dalam kes ini China lah.

"Yang paling besar ia menyekat pencarian minyak dan gas kita, sebab kita ada beberapa pelantar minyak dekat Laut China Selatan, di Sarawak itu banyak dekat dengan Beting Patinggi Ali, Kepulauan Spratly.

"Jika konflik ini berlaku ia akan menjejaskan pendapatan negara, menjejaskan bajet (negara), kerana bajet kita amat bergantung kepada pendapatan minyak.

"Nelayan juga akan terjejas," katanya kepada Malaysiakini.

Mohd Mizan berkata Malaysia perlu mengekalkan hubungan baik dengan China bagi menyelesaikan isu ini daripada terus berlanjutan.

Pada 31 Mei lalu, China dan Malaysia menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara dua negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen