malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Akar umbi perlu jawapan memuaskan jika Umno mahu sokongan
ADS

Seorang veteran Umno hari ini membayangkan bahawa sokongan yang diterima parti itu sebagai sebahagian daripada kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin terletak pada keupayaannya untuk memberi jawapan terhadap isu yang berbangkit di peringkat akar umbi.

Secara khusus, bekas pengerusi BN Johor Shahrir Samad menyorot persoalan yang dibangkitkan mengenai pendirian Umno terhadap penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat berkaitan Blackrock, serta dakwaan kewujudan "adendum diraja" yang dikaitkan dengan permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk tahanan rumah.

Ditanya pandangannya mengenai khabar angin berkaitan rundingan untuk membentuk pakatan politik baru bagi pilihan raya umum (PRU) ke-16 akan datang, Shahrir berkata keadaan masih tidak jelas dengan dakwaan yang dilaporkan daripada PAS dan penafian daripada Umno.

"Itu sebabnya kadang-kadang keadaan serba boleh. Cakap ini boleh (jadi) betul, cakap itu pun boleh (jadi) betul, tak tahu apa sebenar.

"Cuma buat masa ini saya rasa masihlah Anwar akan dapat sokongan Umno dan lain-lain,” kata Shahrir kepada Malaysiakini ketika ditemui di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mencetuskan spekulasi mengenai rundingan yang dikatakan melibatkan Umno. Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam BN, gabungan itu juga dilanda khabar angin berkaitan rancangan MCA dan MIC untuk keluar gabungan, yang turut dinafikan.

Shahrir juga berkata pada masa ini sokongan akar umbi terhadap Umno selepas ia bergerak untuk bergabung dengan PH sedang "diuji" menjelang PRU ke-16 akan datang.

"Tapi isu-isu yang berlaku sebenarnya menguji sokongan di peringkat bawah, terhadap formula duduk bersama ini (BN dan PH).

"Isu-isu MAHB, isu adendum diraja. Jadi memanglah perlu ada jawapan yang memuaskan pihak mereka yang masih tunggu dan lihat. Orang Umno pun ada duduk atas pagar," katanya sambil memberi amaran bahawa parti itu berisiko kehilangan lebih banyak sokongan melainkan "penjelasan yang baik" diberikan kepada isu yang dibangkitkan.

'Siapa PM selepas Anwar?'

Selain persoalan mengenai hala tuju politik Umno masa depan, Shahrir hari ini berkongsi kebimbangannya sendiri mengenai pengganti Anwar sebagai perdana menteri.

Dia mendakwa orang itu bukan salah seorang daripada dua timbalan perdana menteri semasa - Zahid dan Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak - sebaliknya, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang juga timbalan presiden PKR.

"Saya bimbang satu saja. Kalau Anwar demam atau sakit, siapa akan jadi PM? Rafizi?

"Bukan dua timbalan perdana menteri ketika ini. Mungkin itu pun antara punca tak stabil negara. Siapa selepas Anwar? Dia sudah berumur 76 tahun, nampak sihat, tapi kita tak tahu.

"Siapa orang kanannya? Bukan dua timbalan perdana menteri. Tapi timbalannya dalam PKR, Rafizi," kata Shahrir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen