malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sumbangan syarikat arak untuk konsert amal, bukan kepada sekolah - TPM
Diterbitkan:  Jul 26, 2024 4:07 PM
Dikemaskini: 8:07 AM
ADS

Isu tajaan syarikat arak kepada sebuah sekolah Cina di Sepang, Selangor baru-baru ini, adalah untuk penganjuran konsert amal dan bukannya sumbangan kepada sekolah berkenaan, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, wujud persepsi silap yang mendakwa syarikat arak dan rokok menyalurkan dana kepada sekolah Cina.

Katanya, konsert amal itu dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan Lembaga Pengelola Sekolah, lapor BH.

"Apa yang telah kita bincangkan pada mesyuarat Kabinet Rabu lalu, bukan soal sumbangan daripada syarikat minuman keras itu atau pun syarikat rokok atau syarikat sejenama dengannya.

"Apa yang dilakukan adalah penajaan terhadap 'event' (konsert amal) yang dibuat oleh syarikat itu.

"Ia dianjurkan oleh persatuan ibu bapa (PIBG) dan Lembaga Pengelola Sekolah itu. Dalam perkara ini, ia tidak pun menyebut tentang sumbangan daripada syarikat minuman keras kepada mana-mana sekolah sebagaimana persepsi yang wujud," katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan rumusan di Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Pusat Konvensyen Desaru, di Pontian hari ini.

Kelmarin, media melaporkan isu berhubung sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina akan dijawab oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata isu berhubung perkara terbabit ada dibincangkan dalam Kabinet, namun pihaknya menyerahkan kepada menteri berkenaan untuk menjelaskan mengenai perkara itu.

Rabu lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dilaporkan akan memberikan penjelasan kepada kabinet berhubung isu berkenaan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya sebelum ini, memaklumkan memandang serius perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut.

KPM turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen